MOHD Nor Adib menunjukkan udang karang red malboro dan red claw.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.m

am@hmetro.com.m

Bukan saja pelbagai ikan gapi malah aneka jenis burung, ayam dan udang karang air tawar diternak pemuda dari Kampung Keliyu, Dungun, Terengganu, ini sejak 10 tahun lalu.

Kesungguhan Mohd Nor Adib Abu Bakar, 43, menternak 40 jenis ikan gapi, pelbagai jenis burung dan ayam eksotik memberi pulangan yang lumayan kepadanya dan terjual di seluruh negeri dan di eksport ke Amerika Syarikat, Indonesia serta Thailand.

Mohd Nor Adib berkata, dia menjalankan kegiatan penternakan semua jenis haiwan peliharaan itu hanya sekadar hobi kerana tertarik dengan keunikan haiwan berkenaan.

“Selain 40 jenis ikan gapi antaranya red tuxedo koi dan albino red full crown tail, saya juga memiliki koleksi pelbagai jenis burung yang digilai ramai antaranya love bird dan budgerigar selain beberapa jenis merpati eksotik seperti jacobin, USA modena, english modena serta tiger showking.

“Pelbagai jenis ayam eksotik juga memberikan pulangan lumayan kerana biasanya ia mendapat tempahan awal daripada pelanggan dan paling laris ialah ayam giant cochin, onagadori serta bantam.

“Semua jenis haiwan peliharaan yang diternak itu meraih permintaan tinggi dan terbaru koleksi udang karang air tawar yang diternak turut menerima sambutan menggalakkan,” katanya yang juga bekerja sebagai pengurus projek.


MOHD Nor Adib memegang burung merpati jenis jacobin.

Katanya, semua haiwan peliharaannya mempunyai peminat tersendiri dan antara yang kian meningkat ialah pelbagai jenis udang karang air tawar yang diternak sejak 2016.

“Saya mempunyai tujuh jenis udang karang iaitu ghost, red malboro, snow white dan golden king serta paling mendapat sambutan ialah blue marble marmokreb kerana ia membiak tanpa memerlukan induk jantan selain ghost selain snow white yang turut menjadi pilihan.

“Blue marble marmokreb boleh membiak sebanyak 150 hingga 300 ekor setiap dua bulan. Oleh itu, ia sering menjadi pilihan peminat udang karang di seluruh negeri,” katanya.

Katanya, dia menjual pelbagai jenis udang karang air tawar itu dengan harga RM5 hingga RM200 seekor bergantung kepada jenis dan saiz.


UDANG karang snow white.

“Setiap orang mempunyai minat masing-masing dan sebagai penternak, saya bukan saja membekalkan haiwan peliharaan itu tapi turut memberi panduan untuk memelihara haiwan yang dibeli itu dengan cara betul.

“Masyarakat gemar memelihara haiwan ternakan namun tidak semua yang menggunakan kaedah betul dan akhirnya haiwan diternak tidak membiak. Lebih teruk, mati begitu saja,” katanya.

Menurutnya, dia bertuah kerana kegiatan penternakan yang dijalankan turut dibantu isterinya, Wan Hartini Wan Ahmad, 43.

“Isteri banyak membantu menguruskan ternakan ketika saya bekerja. Isteri menguruskan segala perkara khususnya yang membabitkan pemberian makanan dan pembungkusan ternakan.

“Biarpun kos makanan dan penyelenggaraan semua ternakan itu sebanyak RM1,000 sebulan, ia berbaloi kerana pulangan yang diterima lebih lumayan dan mampu menampung segala kos berkenaan,” katanya.


UDANG karang blue red claw.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 11:53 AM