Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Sektor pertanian sangat penting kepada sesebuah negara, bukan saja untuk mengimbangi keperluan rakyat malah menjana ekonomi negara berkenaan.

Di bawah Program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)-Pertanian disenaraikan antara 16 projek yang perlu ditranformasikan dan dijayakan. Sektor pertanian yang diberikan fokus utama adalah penanaman padi.

Oleh itu, Syarikat Pancaran Agro Sdn Bhd (Pancaran Agro) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melaksanakan projek penanaman padi wangi MRQ76 di kawasan luar jelapang khususnya di pantai timur.

Ketua Pegawai Eksekutif Pancaran Agro Datuk Seri Mohamad Sulaiman berkata, pihaknya menjalankan konsep ‘pertanian kontrak’ dengan petani iaitu hasil tanaman padi dijual semula kepada syarikat itu.

Beliau berkata, projek perintis penanaman padi wangi ini dijalankan di Rantau Panjang dan Machang, Kelantan membabitkan kawasan seluas 47 hektar yang akan menghasilkan kira-kira 220 metrik tan padi.

“Syarikat akan membeli semula hasil padi yang diusahakan petani dengan kadar bayaran RM1,800 bagi satu tan.

“Pancaran Agro memperkenalkan produk beras wangi tempatan yang akan dipasarkan tidak lama lagi sekali gus mampu menyaingi beras import dari segi kualiti dan harga.

“Beras wangi ini akan dipasarkan dalam dua saiz iaitu lima kilogram (kg) dan 10kg,” katanya selepas majlis pengisytiharan Cef Adu Amran sebagai Duta Beras Pancaran Agro di The Canteen, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DARI kiri Dr Zainal Abidin, Cef Adu dan Mohamad menunjukkan beras wangi MRQ76.

Turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI Dr Zainal Abidin Hassan.

Mohamad berkata, jenama rasmi produk beras itu akan dilancarkan tidak lama lagi berkisarkan lukisan sawah yang dihasilkan sendiri Cef Adu.

“Malah, kita akan memperluaskan lagi tanaman padi wangi di kawasan Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Gual Ipoh di Kelantan dan Jerteh, Terengganu membabitkan keluasan kira-kira 525 hektar menjelang akhir tahun ini.

“Apabila projek kawasan luar jelapang beroperasi sepenuhnya ia akan dapat menghasilkan kira-kira 2,025 metrik tan padi wangi ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Zainal Abidin berkata, pembangunan padi wangi varieti MRQ76 adalah hasil kacukan antara titisan Q72 dan baka Cuicak wangi.

Menurutnya, titisan Q72 adalah inbred daripada induk yang mempunyai sumber wangi serta mempunyai morfologi pokok yang tegak dan ciri-ciri lebih baik yang diperlukan terutama ketahanan terhadap penyakit karah.

“Baka Cuicak wangi pula ditanam oleh petani di Cuicak tetapi rintang terhadap penyakit karah. Tekstur nasinya sama dengan varieti Jasmin yang lembut, melekit dan berketul-ketul.

“Kacukan antara kedua-duanya dijalankan pada musim utama 2000/2001 yang bertujuan meningkatkan hasil, tekstur nasi dan aroma serta kerintangan terhadap penyakit karah tangkai.

“Baka berpotensi ini seterusnya dinilai prestasinya dalam percubaan penyesuaian multilokasi (MLT) atau pelbagai lokasi dan seterusnya ke ujian penentusahan setempat (LVT) dan meningkatkan skala,” katanya.

Beliau berkata, MRQ76 mempunyai pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak manakala matang sekitar 117 hari selepas ditabur.


CEF Adu dilantik duta beras Pancaran Agro.

“Pokok MRQ76 dengan ketinggian batang sekitar 78 cm, hampir sama dengan ketinggian MR219. Varieti ini sesuai untuk ditanam di luar skim pengairan dan tanah marginal tadahan hujan.

“MRQ 76 adalah sederhana rintang kepada karah. Ia juga sederhana rintang kepada serangan bena perang dan hawar daun bakteria selain hawar seludang dan penyakit merah virus,” katanya.

Katanya, potensi hasil pengeluaran padi wangi ini boleh mencapai enam metrik tan sehektar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 3:33 PM