BUAH jambu loceng madu.
Noorazura Abdul Rahman
rencana@hmetro.com.my

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah pepatah yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan anak FELDA Lubuk Merbau, Padang Terap, Kedah, apabila berjaya menjadikan tanaman jambu loceng madu sebagai pendapatan tetapnya.

Bermula daripada 10 pokok yang ditanam di halaman rumah 11 tahun lalu, Abd Karim Ismail, 42, kini berbangga kerana memiliki kebun berkeluasan 1.5 hektar dengan 500 pokok sejak Januari lalu.

Idea menanam pokok jambu loceng madu tercetus kerana dia tidak mahu bergantung kepada kerja menoreh getah berikutan harga komoditi itu tidak stabil dan sering mengalami kejatuhan harga.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai anak muda (generasi kedua FELDA) berhijrah bagi membantu keluarga namun dia tekad untuk setia berada di tanah rancangan itu dengan membabitkan diri dalam tanaman jambu loceng madu.

“Saya mula menanam 10 anak pokok jambu ini di halaman rumah pada 2007. Melalui konsep ‘kebun rumah’ saya mendapat pulangan yang agak lumayan hingga tidak mampu menampung permintaan jiran.

“Sambutan yang menggalakkan itu menyebabkan saya terpaksa menebang beberapa pokok durian di belakang rumah bagi menanam 25 anak pokok jambu loceng madu yang kini mampu mengeluarkan hasil tiga tan dengan nilai RM24,000 setiap musim,” katanya.


KERJA membalut buah jambu dilakukan bagi mengelak serangan perosak.

Bercerita lanjut, Abd Karim berkata, jambu loceng madu itu mampu mengeluarkan hasil empat kali setahun iaitu pada Januari, Mac, Jun dan September yang membolehkan bapa kepada empat anak ini dapat memberi keselesaan hidup kepada keluarganya.

Katanya, setiap hari dia akan meluangkan masa empat jam untuk membalut buah jambu menggunakan kertas bagi menghalang serangan ulat dan serangga perosak.

“Buah jambu ini agak sensitif dan mudah terkena serangan ulat mahupun serangga perosak. Jadi, setiap pagi saya akan membalut buah jambu ini dan menggantikan balutan yang terkoyak terutama semasa musim hujan.

“Kerja ini dapat memudahkan saya menguruskan masa sendiri, tidak terikat dengan sesiapa, malah kini menjadi perintis kepada penduduk FELDA ini yang turut meminta tunjuk ajar supaya mereka dapat menanam pokok ini di rumah masing-masing,” katanya.

Abd Karim berkata, pokok jambu itu hanya mengambil masa setahun setengah untuk berbuah dan sesuai di tanam di halaman rumah untuk dijadikan sumber pendapatan.

Katanya, konsep ‘kebun rumah’ itu sangat sesuai dipraktikkan berikutan kedudukan rumah FELDA yang mempunyai ruang halaman rumah sederhana.

FELDA Lubuk Merbau semakin terkenal dengan pengeluaran jambu loceng madu yang kini dikenali sebagai jambu loceng merah yang dilancarkan Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid bulan lalu.

Kejayaan menanam jambu loceng madu itu menyebabkan pengurusan FELDA memberi kepercayaan kepada Abd Karim untuk menanam pokok itu di tanah seluas 1.5 hektar pada Januari lalu.


BUAH jambu loceng madu yang dipetik sebelum dibungkus.

“Alhamdulillah, kini saya mempunyai 500 pokok jambu ini. Di samping menjual buahnya, saya turut membekalkan anak semaian pokok jambu dengan harga RM15, sambutannya sungguh menggalakkan dari seluruh Kedah.

“Saya yakin dengan pembabitan ramai peneroka dalam tanaman jambu loceng madu ini, ia akan menjadi sebahagian produk FELDA Lubuk Merbau selain getah.

“Malah peniaga buah juga tidak perlu lagi bergantung kepada pengeluar dari negara jiran kerana kita juga mampu menghasilkan buah yang sama mutu,”katanya.

Menurutnya, ia juga dapat menggamit ramai pengunjung dari luar bertandang ke FELDA itu untuk melihat sendiri tanaman terbabit sekali gus menjadi salah satu pusat pelancongan agro di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:06 AM