PELBAGAI jenis anak pokok buah-buahan yang dijual.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

“Pada mulanya saya membuat nurseri ini untuk persiapan selepas bersara, namun apabila melihat kejayaan menjual anak pokok ini, saya nekad bersara awal,” kata Zairee Mohd Sari, 50, yang membekalkan lebih 200 jenis tanaman pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan herba.

Menurutnya, dia dan isterinya, Roslinda Nordin, 40, menubuhkan syarikat Bumi Hijau Nursery, antara pengusaha yang membekal dan menjual anak benih termasuk baja dan pasu hingga mendapat permintaan ramai.

“Sejak kecil saya memang minat pada pertanian apatah lagi di kampung saya di Jelebu, Negeri Sembilan, pernah bantu keluarga menanam pokok pisang, tebu, koko, durian selain menoreh getah dan bekerja di sawah.


ZAIREE sedang memangkas pokok.

“Selepas berhijrah ke ibu kota beberapa tahun lalu, minat itu timbul semula dan mula berkecimpung dalam industri ini sejak 2012.

“Pada awalnya, saya membeli anak pokok ini secara dalam talian dan lama-kelamaan mendapat permintaan yang menggalakkan,” katanya yang ditemui di nurserinya di Taman Jati, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Zairee berkata, sejak itu, dia dan isteri bercadang untuk menjadikan kawasan tepi rumah sebagai lokasi nurseri apabila permintaan semakin bertambah.

“Saya mula beli anak pokok seperti durian, cempedak, nangka, kelapa matag sebelum menambah pelbagai jenis anak pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Sehingga kini, saya mempunyai lebih 200 anak pokok antaranya durian Asfa, musang king, jambu air, jambu batu, rambutan termasuk ulam-ulaman dan herba.

“Selain itu, anak pokok ciku, pulasan, limau kasturi, nipis dan purut, longan, mangga, petai dan sebagainya,” katanya.


ANTARA pokok mangga yang sudah mengeluarkan hasil.

Menurutnya, dia juga turut menjual pelbagai jenis pokok nadir termasuk buah abiu, acai berry, asam, kandis, bidara, kerdas, mentega, namnam, redan, cermai, gajus, jentik, keriang dot, rambai, rambutan pacat, salak madu, sentul dan sukun.

“Kebanyakan anak benih pokok ini saya ambil dari beberapa negeri seperti Johor, Pahang dan Thailand manakala pokok herba saya semai sendiri seperti belalai gajah, tenggek burung, kacip fatimah, tongkat ali dan sebagainya.


PELBAGAI jenis anak pokok jambu.

“Harga bagi anak pokok ini dijual sekitar RM10 hingga RM150 bergantung kepada jenis. Biasanya, pelanggan yang datang membeli anak pokok ini akan diberi penerangan mengenai baja yang sesuai digunakan bagi memastikan tanaman itu ‘menjadi’.

“Syarikat kami juga turut menawarkan perkhidmatan sampingan seperti membuat landskap, tanaman pokok dan rumput,” katanya yang turut mempunyai cawangan nurseri di Sungai Choh, Rawang.


PEKERJA sedang menyiram air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 9:42 AM