ABDULLAH menyusun telur itik mengikut gred.
AMBIL masa 4 jam sehari kutip telur, beri makan.
HM Digital

Bermula dengan menternak lima itik penelur sebagai aktiviti memenuhi masa lapang di belakang rumah enam tahun lalu, kini jumlah ternakan bertambah kepada 4,000 ekor.

Hasil telur dan jualan yang semakin meningkat turut menjadi pendorong kuat buat bapa kepada dua anak ini untuk memberikan sepenuh tumpuan terhadap projek berkenaan tanpa rasa jemu.

“Kemampuan menghasilkan 2,500 hingga 2,900 telur sehari menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus mengusahakan projek ternakan itik ditambah sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang.

“Sambutan menggalakkan terhadap telur itik hingga tidak menang tangan seolah-olah membuka laluan luas bahawa projek diusahakan mampu berkembang lebih jauh,” kata Abdullah Yusoff, 57.

Dia yang menetap di Kampung Baru Huma Luas, Maran berkata, menternak itik penelur tidak berdepan risiko kerugian disebabkan wabak penyakit atau masalah pasaran berbanding projek ternakan ayam.

Katanya, menguruskan itik penelur mudah dan ringkas apabila hanya mengambil masa empat jam sehari untuk aktiviti mengutip telur serta memberi makan pada pagi atau petang.

Katanya, walaupun terpaksa menyediakan perbelanjaan RM600 sehari untuk makanan palet namun kepuasan dapat dirasai apabila setiap pagi berpeluang mengutip telur pelbagai gred.

“Setiap hari bermula jam 7 hingga jam 9 pagi saya mengutip telur dalam kawasan reban seluas 0.3 hektar di hutan kawasan rizab padang ragut JPV.

“Semangat mengusahakan ternakan itik sentiasa ada apabila melihat banyak telur dihasilkan. Malah, saya mampu meraih pendapatan RM1,500 hingga RM1,700 sehari hasil jualan telur segar.

“Pasaran telur itik juga begitu menggalakkan hingga tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Setiap minggu pemborong dari Kelantan datang untuk mengambil telur,” katanya yang berasal dari Johor itu.

Abdullah berkata, sebelum ini dia mendapatkan pelbagai jenis sayur dan buah-buahan dibuang peniaga di pasar di Maran untuk dijadikan makanan tambahan itik namun disebabkan kekangan masa ia ditinggalkan.

Katanya, walaupun mengeluarkan kos tinggi setiap hari untuk menyediakan makanan namun itu tidak penting kerana masa terluang digunakan untuk melakukan aktiviti lain di kawasan reban.

Pada masa sama katanya, selera pengguna yang semakin meningkat terhadap telur itik menyebabkannya dia tidak dapat memenuhi permintaan pemborong, peniaga kecil dan syarikat pengeluar anak itik di Perak.

Katanya, harga telur mengikut saiz iaitu 60 sen gred A dan 40 sen gred B. Kebanyakan telur itik dijadikan telur asin selebihnya untuk pelbagai jenis masakan seperti gulai pedas.

“Saya bercadang menambah jumlah ternakan kepada 10,000 itik pada masa akan datang. Kawasan luas disediakan JPV memberikan lebih peluang untuk memperbesarkan lagi projek itu.

“Sokongan dan khidmat nasihat JPV menambahkan lagi keyakinan saya untuk menjadi pengeluar terbesar telur itik di negeri ini bagi memenuhi pasaran tempatan serta luar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPV Pahang, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, pihaknya akan terus membantu Abdullah dalam usaha memastikan projek diusahakan berjaya dan terus berkembang.

“Kami menyediakan kemudahan kawasan menternak itik yang sesuai dan diharap membuka peluang lebih cerah terhadap kejayaan projek diusahakan sejak enam tahun lalu itu.

“Pegawai JPV melakukan lawatan setiap bulan ke ladang bagi melihat perkembangan projek itu seterusnya melihat tahap kesihatan itik, ujian darah turut dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya. - Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:26 AM