DR Muhammad meneliti buah terung yang ditanam melalui konsep akuaponik.
Mohd Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my


Seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) bijak menggunakan kawasan laman rumahnya yang terhad di Taman Tunku Sarina, Kubang Pasu untuk menanam sayur-sayuran menggunakan teknik moden, akuaponik.

Pensyarah Pusat Sains Kuantitatif UUM, Dr Muhammad Mat Yusoff berkata, beliau mengaplikasikan konsep akuaponik yang menggabungkan kombinasi akuakultur (ternakan ikan) dan hidroponik (tanaman tanpa tanah) di sekeliling kawasan rumahnya.

Menurutnya, minat bercucuk tanam bermula apabila dia pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah di Manchester, United Kingdom pada 2012.

“Saya mula menanam sayur-sayuran di atas tanah di tepi rumah, tetapi ia sukar hidup kerana tanah yang kurang subur dan serangan makhluk perosak seperti siput babi menyebabkan saya cuba alternatif lain untuk berkebun.

“Menerusi carian di Internet, saya menemui video di YouTube dari luar negara yang memaparkan tanaman berkonsepkan akuaponik ini.

“Tanpa berlengah saya meneliti kaedah penanaman itu dan dengan modal permulaan hampir RM1,000, saya membuat sendiri set kolam takungan dan sistem pengairan dan berjaya menghasilkan set akuaponik yang pertama.


DR Muhammad menggunakan leca sebagai medium tanaman.

“Kini saya memiliki lapan kolam untuk menternak pelbagai jenis ikan air tawar seperti tilapia merah dan hitam, baung, keli dan patin selain tanaman seperti terung, pudina dan kacang bendi,” kata bapa kepada enam anak ini ketika ditemui di kediamannya di Kubang Pasu, Kedah, baru-baru ini.

Dr Muhammad berkata, dia juga menternak udang kara air tawar dan berjaya membiakkan sehingga 30 ekor hasil daripada tiga induk yang dibelinya, awal tahun ini.

Katanya, konsep akuaponik mempunyai banyak kelebihan terutama kepada mereka yang sibuk dengan kerjaya kerana ia tidak perlu disiram dan dibaja apabila mendapat nutrisi daripada air kolam dan tidak dipengaruhi keadaan cuaca semasa.


SEBAHAGIAN udang kara yang diternak menggunakan konsep akuaponik.

“Tahun lalu cuaca pernah mencecah sehingga 37 darjah Celsius ketika musim kemarau, tetapi alhamdullilah, tanaman masih segar dan menghijau,” katanya.

Beliau berkata, akuaponik hanya memerlukan beberapa peralatan terutama kolam mengikut saiz yang diingini, sistem paip dan pasu bunga serta pam air yang disediakan mengikut kreativiti sendiri asalkan berlaku kitaran air antara kolam dan tanaman.

Katanya, tanah liat mengembang (leca) digunakan sebagai medium tanaman menggantikan tanah kerana mampu menstabilkan pH air yang diperlukan ikan selain boleh digunakan dalam tempoh yang lama walaupun harganya agak mahal.

Dr Muhammad yang disokong isterinya, Dr Nor Intan Saniah Sulaiman, 38, yang juga pensyarah kanan UUM, tidak berniat menjual hasil akuaponiknya. Ia hanya untuk kegunaan mereka sekeluarga selain memberikannya kepada tetamu yang berkunjung ke rumah mereka.

Beliau juga amat menggalakkan orang ramai terutama yang tinggal di taman perumahan mencuba pertanian konsep itu kerana ia menjimatkan perbelanjaan dan boleh menambah sumber pendapatan.


DR Muhammad menunjukkan ikan patin yang diternaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:35 PM