DR Hidayah menunjukkan produk nanoselulosa daripada biomas sawit.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Penyelidik dari Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM Prof Madya Dr Hidayah Ariffin berkata, bahan yang digunakan untuk menghasil­kan nanoselulosa daripada bahan mentah selulosa yang diekstrak daripada biomas sawit.

Beliau berkata, selulosa ini digunakan untuk menghasilkan nanoselulosa melalui kaedah pe­ngisaran tertentu. Melalui kaedah berkenaan berjaya menghasilkan nanoselulosa yang mempunyai saiz diameter purata 20 hingga 100 nanometer (nm).

“Nanoselulosa boleh dihasilkan daripada apa-apa bahan berasaskan selulosa seperti biomas tumbuhan, pulpa, kertas, kapas dan sebagainya.

“Memandangkan Malaysia negara yang kaya dengan pokok kelapa sawit dan menghasilkan banyak biomas sawit, terdapat potensi untuk mewujudkan nanoselulosa daripada biomas sawit.

“Nanoselulosa adalah bahan yang versatil di mana ia boleh dihasilkan sesuai dengan aplikasi­nya. Nanoselulosa secara semula jadinya memiliki sifat yang istimewa seperti kuat dari segi mekanikal, mempunyai luas permukaan spesifik yang tinggi, boleh diperbaharui serta boleh terurai secara bio (biodegradasi),” katanya pada sidang media di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Menurutnya, projek yang bermula pada 2013 itu mempunyai sifat istimewa yang menjadikan nanoselulosa bahan yang sangat sesuai untuk diaplikasikan dalam pelbagai produk seperti produk biokomposit dan bahan pembungkus dengan nanoselulosa berfungsi sebagai bahan untuk menguatkan produk.

“Selain itu, ia membran penapis bagi penapisan air dan juga sebagai bahan penapis untuk topeng muka, dalam produk makanan sebagai bahan pemekat dalam produk kosmetik dan farmaseutikal sebagai pembawa untuk bahan aktif dan ubatan.

“Pada masa kini secara global, teknologi nano antara teknologi terbaru dan maju. Menyedari peranan teknologi nano dan potensinya untuk membawa manfaat kepada manusia, kami sudah membangunkan produk ini bersama-sama rakan penyelidik dari Jepun,” katanya.

Hidayah berkata, nanoselulosa di Malaysia masih lagi di pering­kat penyelidikan dan pembangunan (R&D). Justeru, agak sukar untuk membandingkan produk mereka dengan nanoselulosa lain di negara ini.

“Walau bagaimanapun, kami melihat ini sebagai satu peluang dan kelebihan kerana produk kami hampir bersedia untuk dikomersialkan.

“Kelebihan produk kami adalah mempunyai ciri yang setanding dengan nanoselulosa yang dihasilkan di negara maju yang menggunakan bahan selulosa lain dan dihasilkan daripada biomas sawit yang merupakan biosumber yang sedia ada di Malaysia.

“Kaedah penghasilan tidak membabitkan penggunaan bahan kimia sementara kaedah yang mudah dan cepat untuk penghasilan Nanoselulosa,” katanya.

Produk ini yang sudah mempunyai perlindu­ngan harta intelek pernah memenangi Gold Medal for Most Commercial Ready Product in Bioeconomy Innovation Award 2017 dan Silver Medal for Most Innovative Product in Bioeconomy Innovation Award 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 12:12 PM