SEBAHAGIAN warga kerja LPP yang hadir.
ISMAIL (kanan) melawat gerai pameran.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas (MOA) Tani Datuk Seri Ismail Bakar berkata, inovasi serta kreativiti adalah fokus utama kerajaan dalam usaha menuju ke arah negara maju.

Beliau berkata, pembaharuan yang luas perlu dilaksanakan supaya negara keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan seterusnya mencapai matlamat supaya rakyatnya berpendapatan tinggi serta menjadi 20 negara teratas di dunia menjelang 2050.

“MOA tidak terlepas daripada melaksanakan agenda nasional negara melalui inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50). Pelbagai program dilaksanakan pada peringkat kementerian, jabatan dan agensi melalui siri wacana serta dialog TN50 semata-mata bagi mengumpulkan aspirasi daripada golongan peladang, penternak dan nelayan.

“Demi memastikan negara kita mencapai matlamat ini, pelbagai inovasi dan idea baru perlu diketengahkan kerana inovasi inilah antara asas kepada pertumbuhan dan kemajuan negara.

“Oleh itu, setiap tahun jabatan dan agensi di bawah MOA disarankan untuk mengadakan Hari Inovasi untuk membudayakan inovasi serta menandakan kepentingan budaya inovasi dalam mendukung agenda transformasi sektor awam negara serta meraikan keberhasilan inovasi di organisasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inovasi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 2017 di Menara LPP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi LPP Tan Sri Zainal Dahalan dan Ketua Pengarah LPP Datuk Mohd Salim Taha.

Ismail berkata, kecemerlangan dan kejayaan sesebuah jabatan atau agensi bukan bergantung kepada saiz dan bilangan pegawai dan kakitangan yang ramai.

“Apa yang penting ialah nilai, mutu dan taraf pemikiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi secara inovatif dan pantas.

“Melalui Program Transformasi Negara yang menitikberatkan aspek kualiti dan sistem penyampaian perkhidmatan ternyata melonjakkan negara setanding dengan negara maju lain.

“Sejak ia dilaksanakan, pendapatan negara kasar pada hari ini meningkat hampir 50 peratus, jurang sasaran pendapatan tinggi berkurang daripada 33 peratus kepada 19 peratus.

“Sebanyak 2.26 juta pekerjaan diwujudkan dan pada Mac lalu, eksport Malaysia mencecah RM82.63 bilion antara angka tertinggi eksport Malaysia yang pernah diwujudkan,” katanya.

Menurutnya, dalam memperkasakan sektor pertanian, RM200 juta sudah disediakan bagi inisiatif sumber kekayaan baru pada Bajet 2018 khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian dan sektor kulinari serta tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu serta Ruminan.

“Sektor pertanian perlu diteroka dengan lebih mendalam supaya bidang ini boleh mencipta sumber kekayaan baru untuk rakyat dan negara.

“Ia adalah sumber baru kekayaan di mana semua golongan termasuk petani, penternak dan nelayan mampu hidup senang dan menjadi kaya.

“Pemain industri pertanian perlu berpandangan global dan mencipta kekayaan menerusi sektor ini dengan hanya tidak tertumpu pada satu-satu pasaran saja malah mencuba pasaran baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 12:05 PM