KAEDAH NFT teknik hidroponik aliran air cetek mengandungi semua nutrien diserap terus tanaman.
Omar Ahmad
rencana@hmetro.com.my

Pelbagai usaha dirancang dan diatur Jabatan Pertanian Johor bagi memupuk kesedaran masyarakat berkenaan pentingnya berbudi kepada tanah.

Antara inisiatif yang diambil termasuk Program Pertanian Bandar sejak 2016.

Penolong Pegawai Pertanian Asman Aman berkata, program itu membantu isi rumah masyarakat bandar dalam usaha meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bahan makanan diperlukan melalui bimbingan Jabatan Pertanian.

Katanya, program ini membabitkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar dengan kerjasama pelbagai jabatan serta agensi yang berkaitan di peringkat negeri serta Persekutuan.

“Pengintegrasian pertanian dalam perancangan dan pembangunan perbandaran adalah penting untuk pembangunan mampan dari segi aspek kehidupan serta keperluan kehidupan bandar.

“Ia termasuk bekalan bahan makanan, penghijauan persekitaran, pengurusan air dan bahan buangan bandar, pendidikan serta riadah.

“Aktiviti pertanian dalam kalangan penduduk bandar bagi mengeluarkan bahan makanan sendiri adalah satu pendekatan yang praktikal dan dapat mengurangkan perbelanjaan harian berikutan kenaikan kos sara hidup di bandar.

“Penduduk di bandar boleh menanam apa juga sayuran yang sesuai dengan kaedah penanaman tertentu. Kita sedia maklum kawasan rumah di bandar lebih kecil dan keluasannya terhad.


KAEDAH penanaman Nutripot untuk pokok sayuran yang lebih besar seperti tomato.

“Tapi kita ada menyediakan model dan contoh kaedah tanaman sesuai dengan ruang yang terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pavilion Keusahawanan Johor dan Agro Johor, Ekspo Johor Berkemajuan di Iskandar Puteri, baru-baru ini.

Menurut Asman, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi penduduk di bandar membuat tanaman pertanian bandar antaranya kaedah Aeroponik, Fertigasi, Teknik Filem Nutrien (NFT) dan Nutripot.

“Kaedah Aeroponik lebih kepada sistem yang menggunakan semburan air baja. Ia diperbuat daripada paip besar PVC dan boleh menempatkan lebih 15 pokok khususnya sayuran berdaun.

Malah boleh diletakkan pada sudut dinding atau tembok rumah. Biasanya sayuran berdaun ini mengambil masa kira-kira sebulan untuk mengeluarkan hasil.

“Bagi kaedah Fertigasi, ia memerlukan tanah yang lebih besar. Menggunakan polibeg untuk diletakkan anak benih pokok dan disalurkan kepadanya air baja melalui sistem pam automatik.

“Kosnya lebih mahal dan disarankan digunakan jawatankuasa sesuatu kawasan. Tamanan yang sesuai ialah cili sentil, cili besar dan terung,” katanya.


ASMAN melihat pokok cili sentil hasil penanaman kaedah fertigasi.

Katanya, bagi NFT, kaedah ini adalah teknik hidroponik yang membabitkan pengaliran air cetek mengandungi semua nutrien diperlukan tumbuhan dan menyerap melalui akar tumbuhan terus ke sumber air.

“Terdapat dua reka bentuk bekas tanaman sesuai dengan kediaman bandar. Malah tanaman juga tidak menggunakan tanah tetapi menggunakan kapas yang dihubungkan dengan air baja di bawahnya. Tanaman yang biasa digunakan termasuk sawi dan kailan.

“Bagi kaedah Nutripot pula, bentuknya lebih kepada pasu yang ditakungkan air baja dan diletakkan di bahagian bawah. Tanaman kaedah ini lebih besar pokoknya seperti tomato, serai dan daun pandan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 11:21 AM