SAFIAH (tengah), Ahmad dan pekerjanya menunjukkan sebahagian hasil jeruk buah.
Togi Marzuki
rencana@hmetro.co.my

Seorang peniaga menjual pelbagai jeruk buah-buahan tempatan tidak menyangka pembabitan secara suka-suka dalam menghasilkan jeruk sejak setahun lalu kini menjadi punca utama pendapatan keluarga.

Jeruk jenama Hjh Safiah Wal Usrah Produk Muslim di Kampung Parit Hj Adnan, Pekan Parit Sikom, Pontian, Johor semakin mendapat perhatian orang ramai kerana keenakannya.

Safiah Kamirin, 57, berkata minatnya bermula selepas mengunjungi penjelajahan karnival Mini Agro Johor yang diadakan sebelum ini. Katanya, karnival berkenaan bukan saja membolehkan usahawan mempromosikan pelbagai produk mereka, malah menjadi pendorong kepada pengunjung yang ingin turut membabitkan diri dalam produk pengeluaran industri asas tani.

“Saya hanya berbekalkan modal permulaan RM500 untuk membeli hasil tani khususnya buah-buahan seperti mangga, betik, sengkuang, kedondong dan nanas yang dihantar penduduk kampung berdekatan.

“Malah saya menggunakan kepakaran dipelajari dari beberapa pihak termasuk rakan dan menghadiri kursus melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Daerah Pontian.

“Selain itu saya turut memasarkan jeruk ini di sekitar Pontian termasuk melalui laman sosial Facebook Safiah Kamirin,” katanya.

Menurutnya, pembuatannya mudah dan ringkas, bagaimanapun perlu menitikberatkan kualiti bagi menepati cita rasa sebenar dan pada masa sama perlu bijak mengatur dan mempamerkan barangan yang dijual, kreatif serta susunan rapi untuk menambah daya tarikan pengunjung.

“Saya dibantu suami Ahmad Aduan, 64, dan dua pekerja menjual dengan harga berpatutan dan lebih rendah dari harga di pasaran.

“Sementara itu, tempoh sesuai untuk dipasarkan selama satu hingga dua minggu mengikut jenis buah selepas melalui proses rendaman.

“Setakat ini, sambutan dan sokongan sangat menggalakkan walaupun banyak persaingan. Usaha keras pasti akan memperoleh kejayaan.

“Namun apa yang lebih membanggakan, melalui usaha itu secara langsung dapat meningkatkan semangat golongan petani di kampung berkenaan dalam penanaman buah berkenaan untuk menambah pendapatan mereka,” katanya yang pernah menerima anugerah Usahawan Agro Makanan PPK Pontian Selatan 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 11:13 AM