UNTUK permulaan, FRIM memperkenalkan program penanaman kacip fatimah dengan menjadikan Kampung Sagil sebagai genplasma.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Keperluan hasil pertanian herba semakin meningkat menjadikan nilai import bahan mentah itu lebih tinggi berbanding eksport dengan permintaan dalam negara direkodkan sebanyak 500 tan setahun manakala jumlah pengeluaran atau eksport bahan itu sekitar 80 tan saja.

Nilai import sebanyak RM296.4 juta dicatatkan bagi dagangan herba tahun lalu sementara nilai eksport pula mencatat sekitar RM42.3 juta.

Menyedari hakikat itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menubuhkan Plot Model Kampung Herba di Kampung Sagil Parit Dua, Tangkak, Johor bagi membantu meningkatkan pengeluaran bahan mentah herba dalam negara.

Usaha itu juga dilihat mampu meningkatkan sosioekonomi penduduk kampung dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan negara melalui dagangan hasil herba.

Penghasilan bahan mentah herba secara berterusan juga dipercayai mampu mengurangkan kebergantungan import terutama 87 peratus dari China.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata berkata, permintaan tinggi itu turut dibuktikan melalui satu kaji selidik yang dijalankan FRIM pada 2016.


HAMIM (tiga dari kanan) merasmikan projek Plot Model Kampung Herba yang menjadi salah satu inisiatif dan tanggungjawab sosial FRIM untuk merakyatkan hasil penyelidikan dan pembangunan.

“Seramai 73 peratus pengguna di Semenanjung Malaysia menggunakan produk berasaskan herba seperti wangian, makanan kesihatan, kosmetik dan kelengkapan peribadi.

“Nilai ini jelas membuktikan kita tidak boleh terus bergantung kepada bekalan dari hutan semula jadi yang tidak mapan,” katanya.

Kajian itu juga menunjukkan 83 peratus bekalan bahan mentah kacip fatimah diperoleh dari hutan semula jadi dan hanya 17 peratus dari perladangan.

Menurut Dr Abdul Latif, aktiviti perladangan berpotensi membekalkan bahan mentah yang bernilai komersial sekiranya diteroka dan diuruskan dengan baik.

“Plot Model Kampung Herba adalah salah satu inisiatif merakyatkan hasil penyelidilan dan pembangunan (R&D). Ia ditubuhkan bertujuan membantu penyelidik FRIM menjalankan penyelidikan berkaitan spesies herba terpilih. Kampung Sagil dijadikan genplasma bagi melihat kebolehupayaan spesies ini untuk hidup di kawasan ini.”

“Plot model itu turut dijadikan Plot Rujukan Penanaman Herba bagi penduduk kampung, penyelidik FRIM dan penuntut universiti,” katanya.


DR Abd Latif (dua dari kanan) mewakili FRIM dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama PPKS yang diwakili pengerusinya Ismail (dua dari kiri).

Kerjasama FRIM dengan penduduk Kampung Sagil bermula pada tahun lalu melalui aktiviti penanaman kacip fatimah di bawah projek MOSTI Innovation Fund (MSI).

Usaha itu berterusan dengan aktiviti tanggungjawab sosial iaitu penubuhan Plot Model Kampung Herba yang berpotensi untuk membawa kepada usaha pemerkasaan ekonomi penduduk.

“Memandangkan program ini adalah penubuhan plot rujukan penanaman herba, program ini dapat dijadikan sebagai langkah pertama atau stepping point untuk orang kampung mengembangkan tanaman ini secara perladangan di Kampung Sagil pada masa akan datang.

“Bagi tujuan ini, FRIM boleh bekerjasama dari aspek memberi khidmat nasihat dan teknikal bagi penanaman herba secara organik kepada Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil (PPKS),” katanya.


INISIATIF FRIM memperkenalkan Plot Model Kampung Herba dijangka mampu meningkatkan hasil pengeluaran bahan mentah herba dalam negara dan mengurangkan kebergantungan import dari China.

Malah terdapat sekitar 2,500 pekebun kecil di Kampung Sagil menjadikan usaha tanaman herba untuk tujuan eksport sebagai satu usaha yang bertepatan.

Tanaman herba bukan saja boleh dilakukan di kawasan atau kebun lapang tapi turut sesuai menjadi tanaman integrasi di ladang kelapa sawit yang secara tidak langsung menjadi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Ledang Datuk Dr Hamim Samuri, pihaknya menyambut baik inisiatif yang diketengahkan FRIM.


SEBAHAGIAN anak pokok yg dibiakkan di Plot Model Kampung Herba di Kampung Sagil Parit Dua, Tangkak, Johor.

“Di peringkat kementerian, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sendiri iaitu Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyambut usaha untuk mengkomersialkan produk inovasi FRIM yang keseluruhannya dicatatkan bernilai tidak kurang dari RM100 bilion.

“Namun, penduduk Kampung Sagil perlu komited dan tekad dalam melaksanakan projek ini.

“Dalam tempoh kurang setahun dari sekarang, kampung ini bakal menjadi taman dan pusat herba.


MAJLIS perasmian turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat membabitkan kakitangan FRIM dan penduduk kampung.

Katanya, tanaman peserta dari kampung ini bukan saja dapat dijual kepada Bioalpha Holdings Berhad menerusi harga yang dipersetujui, pada masa sama dapat menarik pelancong menerusi kewujudan taman herba unik.

“Kami turut menjangka dalam tiga hingga lima tahun lagi Kampung Sagil mampu membekalkan keperluan 500 tan bahan mentah herba dalam setahun,” katanya.

Untuk permulaan, 10 orang penduduk Kampung Sagil mengambil bahagian dalam projek penanaman herba yang diketuai pegawai penyelidik FRIM Dr Farah Fazwa Md Ariff dengan jangkaan membuahkan hasil bermula tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 11:46 AM