PRODUK Bacto-10 hasil kajian pensyarah UPM. FOTO Shiraz Ali
Mohamad Hussin
rencana@hmetro.com.my


Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menghasilkan produk baja cecair bio dikenali sebagai Bacto-10 yang berfungsi sebagai penggalak pembentukan akar pokok dan sesuai untuk semua jenis tanaman.

Bacto-10 adalah produk baja cecair bio yang mengandungi Bakteria Penggalak Pertumbuhan Tanaman hasil penyelidikan pensyarah dan pakar Mikrobiologi Tanah, Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Zulkifli Shamsudin.

Ia didapati sesuai untuk semua jenis tanaman termasuk sayuran berdaun, bunga, buah-buahan, herba selain digunakan kepada tanaman komoditi seperti sawit, padi dan getah.

Projek pengkomersialan itu melalui program UPM-MTDC Symbiosis yang kini dikendalikan syarikat Phytogold Sdn Bhd (Phytogold).

Ketua Pegawai Eksekutif Phytogold Muhamad Nazri Lokman berkata, syarikatnya yang berasaskan pertanian menjurus ke arah penggunaan Bioteknologi bagi membantu meningkatkan hasil tanaman.


PROSES pembuatan baja dalam makmal. FOTO Shiraz Ali

Beliau berkata, ia menyediakan produk dan perkhidmatan teknologi hijau yang berinovatif untuk pengguna pertanian bagi meningkatkan sosioekonomi ke tahap yang lebih baik.

“Mikro organisma (bakteria) pengikat Nitrogen (N) adalah bakteria yang mampu untuk mengikat unsur nitrogen yang banyak di atmosfera 78 peratus untuk keperluan nutrisi pokok secukupnya.

“Bio-baja Bacto-10 menggunakan mikrob pengikat nitrogen jenis Bacillus subtilis iaitu bakteria jenis mutualistic yang biasa ada di bintil akar tanaman kekacang berakar serabut jenis Rhizobium.

“Ia mampu mengikat lebih banyak unsur nitrogen yang ada di akar tanah malah juga mampu untuk mengambil nitrogen di udara (atmosfera),” katanya yang ditemui di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Muhamad Nazri berkata, fungsi utama bakteria pengikat nitrogen adalah untuk mengikat lebih banyak nitrogen di tanah dan di udara selain menguatkan struktur akar pokok.


MUHAMAD Nazri memasukkan baja-bio Bacto-10 ke dalam botol. FOTO Shiraz Ali

“Bakteria ini mengikat nitrogen sebagai sebahagian daripada kitaran metabolisme mereka dan berupaya hidup lebih lama dalam akar.

“Enzim yang digunakan bakteria untuk mengikat nitrogen adalah nitrogenase. Tanpa adanya nitrogenase, bakteria tidak akan mampu melakukan proses pengikatan nitrogen.

“Produk akhir dari proses pengikatan nitrogen adalah Amonia (NH3) dan air. Enzim nitrogenase tidak aktif dalam keadaan beroksigen.

“Oleh itu, proses pengikatan nitrogen hanya berlaku pada keadaan anaerob (tanpa oksigen) atau oksigen yang diserap bahan kimia lain seperti Leghaemoglobin,” katanya.

Menurutnya, baja-bio Bacto-10 dapat mengurangkan penggunaan baja kimia berdasarkan fungsinya yang mengikat nitrogen dari udara dan mengurai nutrient (fosforus, kalium) dari tanah.


KAKITANGAN Phytogold menggunakan pelekat Bacto-10. FOTO Shiraz Ali

“Dengan pengambilan Bacto-10 secara sistematik, ia mampu untuk membaik pulih tanah dan menyuburkan semula tanah.

“Akar yang bertambah daripada penghasilan fitohormon membantu dalam lebih penyerapan nutrien dan air (tahan musim kemarau) dengan itu hasil tanaman (daun, buah, bijirin) boleh meningkat sehingga 30 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:28 AM