SEBAHAGIAN nelayan yang menerima bantuan daripada LKIM.
M Saedon (kiri) menyampaikan sijil kepada wakil nelayan kawasan Parlimen Kemaman sambil disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
ANTARA nelayan yang hadir.
PENGERUSI LKIM, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (kanan) melihat ikan sejuk beku.
Mohamad Hussin

Sumbangan nelayan terhadap industri perikanan negara memang tidak dapat disangkal kerana mereka antara aset terpenting dalam meningkatkan ekonomi negara.

Bertepatan dengan Program Gelombang Nelayan Nasional 2017 (GNN 2017) yang diadakan di pantai Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu selama tiga hari mulai semalam antaranya bertujuan menghargai jasa nelayan dalam sektor perikanan negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif sama ada dalam bentuk ekonomi dan sosial dalam membantu meringankan beban nelayan.

Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab Majid berkata, GNN 2017 yang dilaksanakan ini adalah kesinambungan kejayaan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tani dan Gelombang Tani Nasional (GTN) yang dilaksanakan di Terengganu dan Perak, pada 15 April lalu.

Beliau berkata, GNN 2017 yang diperkenalkan MOA bertujuan menerapkan semula budaya gotong-royong di samping dapat memberi satu transformasi sikap dan minda dalam kalangan komuniti nelayan.

“Program ini berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membabitkan nelayan, penjawat awam dan sektor swasta sepanjang tahun ini. Program ini membabitkan dua komponen utama iaitu ‘Engagement 1Nelayan’ dan Perhimpunan 1Nelayan.

“Antara aktiviti Program Engagement 1Nelayan adalah aktiviti baik pulih rumah nelayan seluruh Terengganu, kursus bina minda dan transformasi nelayan, keceriaan kampung/kawasan komuniti nelayan, pembersihan pantai dan penanaman pokok ru.

“Selain itu, pembersihan jeti dan kompleks pendaratan ikan. Manakala Program Perhimpunan 1Nelayan bertujuan menghimpunkan nelayan sekitar pantai timur melalui penganjuran pelbagai aktiviti menarik sepanjang GNN 2017 diadakan,” katanya.

M Saedon berkata, antara aktiviti Program Perhimpunan 1Nelayan pula adalah himpunan 786 Bot Nelayan Pantai Timur, forum perdana Islam, pesta sukan air, dialog bersama belia nelayan, pelancaran Kumpulan Keselamatan Nelayan (KKN) dan skuad anti dadah, pelancaran radio komunikasi nelayan, demonstrasi masakan istimewa dari pelbagai negeri.

“Demonstrasi menyelamat KKN bersama pasukan keselamatan, pentas anak seni, pertandingan dikir barat, pertandingan memancing, pertandingan bot/sampan berhias dan pertandingan masakan.

“Pertandingan dam aji nelayan kebangsaan, gotong-royong jamuan rakyat, ceramah kesedaran dan keselamatan, rekreasi berkuda, perkhemahan agrotroopers dan 4X4 challenges serta simfoni nelayan.

“Selain itu, pameran ‘Mobile Community Transformation Centre’ (Mobile CTC) daripada jabatan dan agensi di bawah MOA serta jualan food truck membabitkan usahawan di bawah kementerian. Pameran di booth LKIM seperti simulasi bot nelayan, simulasi memancing dan perkampungan nelayan,” katanya.

Menurutnya, GNN 2017 antara program yang baik untuk diterapkan kepada komuniti. Budaya turun-temurun perlu diperkasakan dengan memupuk kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat yang mementingkan nilai kebersihan dan keceriaan.

“Komitmen dan sokongan semua pihak seperti agensi, badan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, kontraktor dalam menjayakan program ini mengukuhkan lagi pelaksanaan NBOS di peringkat kebangsaan.

“Pembabitan belia dalam sektor perikanan perlu digalakkan bagi memberi persepsi baru dalam mencipta kekayaan baru melalui sektor atau industri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, LKIM masih melaksanakan program membantu nelayan antaranya pinjaman mudah bagi pembelian bot dan peralatan baru atau meningkatkan keupayaan bot sedia ada serta bantuan infrastruktur, latihan modal insan melalui program azam tani dan touch point.

“Pembinaan dan menaik taraf sebanyak 342 jeti dan 45 kompleks pendaratan ikan di seluruh negara, pemberian elaun sara hidup kepada nelayan pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan, penyediaan insentif hasil tangkapan ikan pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilogram kepada pemilik vesel yang mendaratkan hasil tangkapan di pusat pendaratan yang ditetapkan.

“Pelaksanaan skim subsidi diesel dan petrol nelayan bagi menampung sebahagian kos operasi penangkapan ikan susulan kenaikan harga bahan api, Pemberian bantuan dan sumbangan segera kepada nelayan yang terbabit dengan kemalangan atau musibah melalui Tabung Bencana Alam dan kebajikan nelayan.

“Program insurans nelayan bagi membela nasib keluarga nelayan dan pelaksanaan projek khas perumahan nelayan bagi membantu nelayan memiliki kediaman yang selesa dan selamat,” katanya.

Majlis perasmian GNN 2017 akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pantai Kuala Kerteh, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 10:12 AM