SEBAHAGIAN penduduk yang menerima anak pokok belimbing buluh.
Roselan Ab Malek
rencana@hmetro.com.my

Daerah Jerantut akan menjadi pengeluar dan pembekal terbesar belimbing buluh dalam jangka masa tiga tahun lagi apabila tumbuhan itu ditanam secara besar-besaran.

Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pokok belimbing buluh (Averrhoa bilimbi) kini banyak tumbuh liar atau ditanam secara kecil-kecilan di keliling rumah sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual.

“Sekarang permintaan belimbing buluh mendapat permintaan yang tinggi hingga tidak mencukupi khususnya di daerah Jerantut, Lipis dan Raub berikutan permintaan daripada pembuat sambal hitam atau sambal Pahang.

“Kini ramai penduduk di tiga daerah itu sudah mengkomersialkan produk sambal hitam ke seluruh negara dan mendapat sambutan mengalakkan sehingga buah belimbing buluh tidak mencukupi,” katanya.

BUAH belimbing buluh.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 230 pokok belimbing buluh kepada penduduk di Kampong Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling, Pahang, baru-baru ini.

Ahmad Nazlan berkata, belimbing buluh serba guna kerana selain menjadi bahan utama membuat sambal hitam, banyak lagi industri hiliran boleh dijana.

“Selain patin masak tempoyak, patin masak bersama belimbing buluh juga masakan tradisional Pahang yang belum dipopularkan.

“Malah buah belimbing buluh juga boleh dijadikan halwa dan air rebusannya buluh boleh dijadikan pencicah ikan bakar yang menyelerakan serta boleh dijadikan kordial berkhasiat ubatan,” katanya.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu penduduk luar bandar menambah pendapatan memandangkan tanaman itu bahan utama dalam kebanyakan masakan tradisional Pahang.

AHMAD Nazlan menanam pokok belimbing buluh di Masjid Kampung Bukit Mat Daling.

Ahmad Nazlan berkata, selain boleh dijual secara segar, ia boleh juga dijual secara kering atau dalam bentuk rebusan dan tahan lama.

“Rebusan belimbing buluh kini mencecah RM20 hingga RM30 sekilogram dan tidak mencukupi bagi menampung permintaan industri kecil sambal hitam.

“Penduduk boleh menanam tumbuhan itu di kawasan tanah terbiar atau ditanam secara selingan kerana ia akan mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun,” katanya.

Menurutnya, beliau

akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Daerah untuk mengalakkan orang ramai menanamnya kerana selain cepat mengeluarkan hasil, cepat, pokok ini kurang penyakit dan berbuah sepanjang tahun.

KAKITANGAN Jabatan Pertanian Jerantut mengagihkan pokok belimbing buluh kepada penduduk kampung.

“Dua tahun lalu saya turut menyumbang 3,500 pokok belimbing buluh kepada penduduk Bukit Puas, Gintong dan Tebing Tinggi untuk ditanam secara sendirian atau kelompok.

“Dengan adanya projek ini ia akan memberi peluang perniagaan kepada penduduk tempatan sama ada menjual hasil itu secara mentah atau industri hiliran,” katanya.

Beliau akan meminta pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membantu penduduk kampung menghasilkan industri hiliran yang berkaitan belimbing buluh sebagai sumber pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 2:37 PM