PENYELIDIK bersama dua jenis kulat.
PENYELIDIK memasang jerat bagi menangkap haiwan.
PENYELIDIK kualiti air melakukan ujian terhadap kandungan bahan dalam air.
DR Izfa Riza menangkap serangga untuk kajian.
Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my

Penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi di Hutan Simpan Bukit Bujang, Cameron Highlands disertai 65 penyelidik, baru-baru ini.

Ia dapat memberi maklumat awal terhadap kepelbagaian biologi hutan di kawasan tanah tinggi terbabit.

Program selama empat hari anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu bertujuan mengumpul dan mendokumentasi hasil kajian sebagai rujukan pelbagai pihak.

Ketua ekspedisi Prof Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad berkata, kesungguhan penyelidik melakukan kajian dalam bidang masing-masing memberi gambaran awal terhadap kejayaan yang bakal diterima pihak penganjur dan kerajaan negeri.

Menurutnya, kajian kualiti air di Sungai Lemoi dan Sungai Telom mendapati tahap kebersihan dan bahan tercemar dalam air masih berada di tahap memuaskan.

“Air di sungai terbabit boleh digunakan manusia walaupun paras pencemaran di sungai utama kurang memuaskan. Tiga penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dibantu kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) mengambil contoh air di dua sungai terbabit selama tiga hari mendapati kualitinya pada paras satu.

“Kedudukan Hutan Simpan Bukit Bujang di kawasan tinggi dan suhu di sekitarnya lembap menjadi antara faktor terdapat banyak pokok buluh, tumbuhan berkenaan menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

“Hutan di kawasan terbabit masih dianggap baik apabila terdapat banyak pokok balak walaupun saiznya tidak besar disebabkan beberapa faktor seperti bentuk muka bumi dan suhu,” katanya.

Dr Abdul Latiff berkata, kedudukan Hutan Simpan Bukit Bujang berada dalam kawasan pelancongan Cameron Highlands membolehkannya dijadikan produk pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

“Ekspedisi diadakan menemui banyak khazanah tumbuhan, serangga, binatang liar, kulat, mamalia kecil, buluh dan lumut yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong datang ke tanah tinggi itu.

“Keistimewaan lain terdapat di kawasan hutan simpan terbabit ialah apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mengesahkan masih terdapat banyak haiwan seperti pelanduk, rusa dan tapir,” katanya.

Oleh itu, menurutnya, usaha meletakkan Hutan Simpan Bukit Bujang sebagai produk pelancongan baru di Cameron Highlands perlu dilakukan agensi kerajaan bertanggungjawab sambil mendapat bantuan JPNP dan PERHILITAN.

“Saya berharap dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang buku hasil kajian Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi di Hutan Simpan Bukit Bujang dapat dikeluarkan pihak penganjur JPSM yang sentiasa memberi perhatian terhadap masa depan hutan di negara ini,” katanya.

Ketua penyelidik serangga Dr Izfa Riza Hazmi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, terdapat 30 hingga 40 spesies ditemui sepanjang ekspedisi diadakan.

Menurutnya, beberapa jenis kumbang, riang-riang dan ranting berjaya ditangkap menggunakan sejenis kelambu putih dengan umpan cahaya lampu.

Katanya, masih banyak terdapat serangga di kawasan hutan terbabit walaupun sebahagian dimajukan dengan empangan.

“Saya bersama pelajar akan membawa balik serangga untuk melakukan analisis di makmal sebelum hasil kajian dapat dibentangkan untuk dibukukan oleh pihak penganjur.

“Hutan semula jadi di Bukit Bujang menjadi antara faktor banyak serangga ditemui pada waktu malam, saya berpuas hati dengan kejayaan program yang diadakan selama empat hari itu,” katanya.

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi di Hutan Simpan Bukit Bujang disertai enam universiti tempatan dan World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia Nature Society (MNS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Taman Botani Putrajaya serta PERHILITAN.

Lima bidang kajian dilakukan sepanjang ekspedisi iaitu pengurusan hutan, persekitaran fizikal, flora, fauna dan sosioekonomi masyarakat Orang Asli yang menetap di kawasan Hutan Simpan Bukit Bujang.

Pada 2007 JPSM dan JPNP menganjurkan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Pergunungan Cameron Highlands bagi mengumpul maklumat kepelbagaian biologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 12:34 PM