TERNAKAN itik yang diusahakan kumpulan Duta Jauhar UMT Selulun Duck.
HM Digital

Projek ternakan itik penelur dan itik pedaging semakin mendapat perhatian untuk dikomersialkan di negara ini.

Perusahaan ternakan itik penelur dan pedaging ini mampu menjana pendapatan lumayan kepada pengusaha terbabit.

Menyedari potensi ini, kumpulan Duta Jauhar 4.0 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ‘Selulun Duck’ tidak melepaskan peluang menjalankan projek ternakan itik penelur dan itik pedaging di Kampung Selulun, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Ketua program, Muhammad Syafnan Kamal berkata, mahasiswa melaksanakan projek ini bukan untuk kepentingan diri mereka semata-mata tetapi untuk membantu masyarakat bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Golongan sasaran bagi projek ini adalah golongan belia dan bapa tunggal. Projek ini menjual hasil produk daripada ternakan itik seperti daging itik, telur itik dan telur masin.

“Bukan itu sahaja, mereka turut akan menginovasikan makanan daripada itik seperti sate itik, burger itik dan ‘duck chop’ sebagai produk sampingan.

“Melalui projek ini, mereka dapat menimba ilmu dan pengalaman yang berharga dalam menternak itik penelur dan pedaging serta menyumbang jasa dalam mentransformasikan taraf hidup masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap projek ini mendapat sokongan pelbagai pihak demi industri ternakan negara ini.

Mereka yang ingin mengikuti perkembangan projek ini melalui Facebook di Duta Jauhar UMT - Selulun Duck.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:09 PM