MOHD Yahaya memetik buah anggur.
KERJA pembersihan dilakukan.
BUAH anggur berbuah lebat.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my


Pesara Pembantu Pegawai Telekom Malaysia (TM) Pulau Pinang ini mampu tersenyum lebar apabila anggur ditanamnya secara ‘suka-suka’ sejak lima tahun lalu kini sudah mulai mengeluarkan hasil berlipat ganda dan menunggu masa menuai.

Walaupun anggur jarang ditaman di negara ini, ia mampu hidup subur di taman pekarangan rumah Mohd Yahaya Mohd Noor, 59, di Kuarters Kakitangan TM Jalan Kampung Rawa, Georgetown.

Tanaman anggur boleh hidup subur di negara ini walaupun sebelum ini ia dianggap mustahil.

Ini kerana keadaan cuaca negara ini panas dan paling penting cara serta teknik penanamannya mestilah betul.

Mohd Yahaya berkata, minat mendalam dalam berkebun membuktikan sesuatu tanaman bukan saja bermanfaat, malah mampu memberikan pendapatan lumayan jika diusahakan secara komersial.

Beliau mula menanam pokok anggur jenis black opal dibelinya sebelum disemai menerusi ranting dan ia mulai hidup subur hingga melingkar hampir di setiap sudut halaman dengan tangkai berbuah.

“Masih ramai dalam kalangan masyarakat khususnya mereka yang berminat dalam kegiatan berkebun beranggapan tanaman anggur di negara ini mustahil ditanam apatah lagi mengeluarkan hasil.

“Sebenarnya tanaman ini memerlukan cuaca panas bagi membantu mengeluarkan hasil anggur yang manis, sekali gus membantu pokok hidup lebih subur,” katanya.

Menurutnya, anggur mudah ditanam kerana ia tidak memerlukan air banyak dan jika air berlebihan akan menyebabkan buah menjadi masam.

Katanya, sejak pokok anggurnya mengeluarkan hasil banyak walaupun saiznya sebesar guli dan agak kecil, kediamannya kini sentiasa menjadi kunjungan ramai termasuk rakan dan kenalan.

“Mereka tertarik melihat dengan lebih dekat dan merasai keenakan buah anggur hasil tanaman.

“Saya memasang penyokong dawai bagi menahan dahan yang menjalar dengan tangkai berbuah bagi menggalakkan proses pembungaan di sekitar kawasan rumah.

“Saya berhasrat mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan tanaman angggur bagi membolehkan usaha meluaskan kawasan tanaman, sekali gus dapat dikongsi ahli keluarga, rakan dan sahabat handai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 2:52 PM