AHMAD (kanan) meninjau tanaman jagung yang diusahakan Azam.
Mohd Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my


Keputusan seorang pesara tentera mengusahakan tanaman jagung di sebidang tanah terbiar di Kampung Salit, Jitra, sejak tiga tahun lalu mengubah nasib dirinya dan keluarga.

Bukan saja mampu meraih puluhan ribu ringgit setiap bulan, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dalam menuai hasil tanaman.

Azam Din, 62 berkata, sejak bersara pada 1990, dia melakukan pelbagai kerja di kampung, termasuk menjaja buah-buah tempatan di pasar sehari sekitar daerah ini.

“Pendapatan masa itu tidak menentu bergantung kepada buah yang bermusim dan faktor cuaca.

“Timbul idea untuk mengusahakan tanaman jagung dan pisang berangan yang dilihat mempunyai potensi sepanjang tahun dan kebetulan di kampung ini banyak tanah ada pemilik, tetapi terbiar oleh tuannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengurus Bahagian Pembangunan Modal Insan dan Pembasmian Kemiskinan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Ahmad Helmi di Kubang Pasu, Kedah, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil rundingan bersama tuan tanah persetujuan dicapai memajukan tanah seluas 2.8 hektar untuk jagung dan pisang, 0.9 hektar relung menggunakan modal daripada simpanan saya sendiri.

“Tuan tanah bersetuju membenarkan saya mengusahakan tanah ini selama tiga tahun tanpa sewa dan selepas ini perjanjian dibuat semula untuk berbincang berkaitan sewanya,” katanya.

Beliau memperoleh pendapatan RM15,000 bagi semusim jagung Taiwan dan RM30,000 untuk pisang setiap kali penuaian serta menjualnya sendiri kepada pelanggan.

“Projek ini turut memberi peluang pekerjaan kepada belia tempatan yang mengambil upah setiap kali musim menanam dan menuai hasil kerana jagung cuma mengambil masa 65 hari saja untuk dituai manakala pisang, lapan bulan,” katanya.

Azam turut menggunakan pengalaman 13 tahun dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas di Kem 36 Workshop Sungai Petani untuk membangunkan sistem pengairannya sendiri dan mengubahsuai mesin pembajak bagi kegunaan kebunnya.

“Tahun ini, saya meluaskan lagi projek tanaman dengan mengusahakan nanas moris di kawasan tanah terbiar seluas 3.36 hektar di kampung ini dan kini dalam proses penanaman anak pokok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 1:58 PM