TH mempunyai 9.4 juta pendeposit di seluruh negara dengan jumlah tabungan RM70 bilion.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji komited mengukuhkan institusi itu untuk diwariskan kepada generasi akan datang seterusnya menjadikan institusi dihormati kerana pencapaian serta tadbir urus.

Justeru, TH menggariskan enam perkara yang menjadi fokus utamanya bagi mencapai matlamat itu termasuklah tadbir urus, pengurusan deposit, pengurusan haji, sumber manusia, kecekapan operasi dan anak syarikat yang lebih menyumbang kepada masyarakat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, TH diwarisi sejak 63 tahun lalu dan kukuh, kini tiba masanya mewariskannya kepada anak cucu kita nanti.

Katanya, kini TH ada 9.4 juta pendeposit di seluruh negara dan jumlah tabungan RM70 bilion yang perlu dikembangkan dan diuruskan sebaiknya.

“Tabungan dan aset kita adalah duit berkaitan agama, jadi kita kena memegang tanggungjawab dan menghormati mandat ini seterusnya menjadi institusi orang Islam yang boleh banggakan.

“Bagi mencapai matlamat itu serta memperkukuhkan prestasi dalam pelbagai dimensi, kita akan lebih fokus kepada enam perkara sudah digariskan demi pengukuhan TH,” katanya.

Perkara pertama menjadi keutamaan TH urus tadbir terhadap deposit RM70 bilion itu dan perkara yang perlu dijaga sebaiknya.

“Sekarang kita mempunyai banyak semak imbang memastikan kaedah pelaburan bersesuaian dengan deposit yang kita tadbir.

“Dari situ, kita akan memastikan aset yang kita akan laburkan dan apakah parameter perlu dipatuhi agar nilai pelaburan bukan saja dapat dijaga tetapi berkembang untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.

Menurut Nik Mohd Hasyudeen, dari segi haji TH dalam proses membentuk Rangka Tindakan Pembangunan (blueprint) haji untuk lima tahun ke hadapan.

Katanya, ia penting kerana kini Makkah dan Madinah mengalami banyak perubahan seperti hotel lama dirobohkan serta pembinaan hotel baru dan situasi memerlukan TH menilai perkhidmatan diberikan kepada jemaah.

“Keduanya, banyak pembaharuan dilaksanakan pihak kerajaan Arab Saudi dari segi keselamatan, makanan dan perjalanan. Jadi, dalam blueprint ini, kita lihat dalam masa lima tahun ke hadapan, macam mana TH akan menguruskan perkara ini.

“Ketiga, semua perubahan ini beri kesan kepada kos menguruskan perkhidmatan haji. Oleh itu, kita perlu lihat semua aspek selain berinteraksi dengan pemegang saham dan pihak berkepentingan supaya cadangan mereka diambil kira,” katanya.

TH adalah institusi menggabungkan dua perkara iaitu tabung dan haji. Bagaimanapun, masyarakat biasanya akan bercerita hanya mengenai tabung, haji dan jarang membincangkan tabung haji itu secara bersepadu.

“Dengan duit kita dapat daripada simpanan jemaah akan dilaburkan dan keuntungan diperoleh digunakan untuk membayar operasi menyeluruh TH di 125 cawangan seluruh negara.

“Sebahagian keuntungan itu digunakan untuk operasi haji yang dilaksanakan setiap tahun di mana bantuan haji atau subsidi sahaja menelan belanja lebih RM300 juta untuk 2019 selain lain kos tidak langsung seperti kos perubatan, kursus haji dan sebagainya.

“Kita juga membayar zakat kepada pendeposit dan selebihnya kita pulangkan dari segi hibah,” katanya.

Bagi mengukuhkan TH untuk generasi masa hadapan, katanya operasi institusi itu perlu cekap iaitu pengurusan deposit, haji dan operasi.

“Sebab itu, kita perlu melabur kepada sumber manusia seterusnya memperkukuhkan prestasi mereka,” katanya.

Di mana, bukan saja kita mahu mereka menjadi profesional, tapi pada masa sama bekerja dengan ikhlas kerana TH melaksanakan dua tugasan besar iaitu mentadbir aset muslimin dan membolehkan orang Islam menyempurnakan rukun Islam kelima.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, dengan aset yang ada TH membuat pelaburan strategik khususnya dalam anak syarikat TH seperti Bank Islam, Takaful, TH Plantation dan TH Travel.

“Apa yang akan kita tekankan untuk masa depan memperkukuhkan lagi anak syarikat kita kerana ia penting dalam segi memperkukuhkan lagi ekonomi umat Islam dan ekonomi halal.

“Insya-Allah, semua anak syarikat diselia dengan terperinci supaya kesan mereka kepada masyarakat akan lebih terserlah.

“Menerusi anak syarikat TH, kita cuba sebarkan lagi manfaat hasil daripada tabungan di TH kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam usaha itu, katanya menerusi Bank Islam, mereka kini giat membantu Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) kerana sektor itu penting untuk mengembangkan ekonomi negara.

Mengulas mengenai pelaburan, pengambilalihan dan penstrukturan, Nik Mohd Hasyudeen berkata, TH sentiasa melabur bagi mencari pulangan lebih stabil.

“Kita semua maklum sekarang suasana pelaburan di dalam dan luar negara banyak cabarannya. Kerana itu, kita lebih kepada aset berpendapatan tetap seperti pelaburan dalam hartanah berbanding saham ataupun ekuiti.

“Apapun, dalam konsep pelaburan ini, TH lebih berhemah dan tidak hanya melabur untuk pulangan terlalu tinggi tetapi stabil. Kita juga perlukan pulangan bagi menampung operasi haji.

“Walaupun TH lebih konservatif, tapi tak bermakna TH tidak berminat dengan ekonomi. Malah kita mahu lebih berkesan dari segi cara TH terbabit dalam ekonomi kerana ini perkara penting untuk umat Islam,” katanya.

Antara prinsip diketengahkan Pengarah Urusan Lembaga yang pertama, Tan Sri Hanafiah Hussain sejak dulu dalam penubuhan TH ialah integriti, jadi benda ini yang kita nak suburkan.

“Kita kena ingat, TH bukan milik sesiapa, ia milik semua orang. Jadi kita kena kerjasama dan membantu mengukuhkan serta pastikan ia sentiasa berjasa kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 8:53 AM