PEMANDANGAN di kawasan perkampungan Badar yang menjadi lokasi bersejarah berlakunya peperangan itu pada 17 Ramadan 624 Masihi.
Kembara Syahadah

ANTARA peristiwa besar berlaku pada bulan Ramadan adalah Perang Badar pada tahun kedua Hijrah.

Perang Badar tercetus ketika Nabi Muhammad SAW belum mempunyai persiapan berikutan Baginda baru masuk dan bertapak di Madinah.

Imam Ibnu Hisham di dalam kitabnya, Sirah Nabawiyah menyatakan, ada lebih 100 kabilah yang berada di Madinah ketika itu dengan lebih 40 bahasa dipertuturkan.

Ia memberikan satu gambaran, kawasan itu sangat berkecamuk dan peperangan sentiasa berlaku antara satu kabilah dengan kabilah yang lain menyebabkan bumi Madinah tidak bangkit sebagai sebuah bandar yang maju.

Sebaliknya, ia menjadi sebuah bandar yang sentiasa berperang.

Bagaimanapun, Allah SWT jadikan perjalanan Islam apabila Rasulullah SAW mencapai kemenangan di Madinah.

Walaupun Rasulullah SAW pernah berhijrah ke Taif iaitu bumi yang aman, Allah SWT tidak izinkan Baginda mencapai kemenangan di Taif.

Rasulullah SAW memulakan pentadbiran Islam dari awal dan pembinaannya mengambil masa lebih setahun.

Ketika itu, Baginda baru sahaja mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar.

Namun, Allah SWT uji dengan peperangan berkenaan yang menjadi sejarah peperangan pertama antara kaum muslimin dan musyrikin.

MOHD Nosdin bergambar berhampiran tugu serta makam syuhada dalam Perang Badar.

Penerbit Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Nosdin Abdul berpeluang meninjau kawasan perkampungan Badar yang terletak 155 kilometer ke arah barat daya Madinah ketika melakukan penggambaran di sana.

“Bayangkan bagaimana Nabi Muhammad SAW dan sahabat bergerak ke Badar untuk berperang menentang tentera musyrikin di mana jumlah mereka kira-kira 1,000 orang sedangkan tentera Muslimin ketika itu hanya 313 orang.

“Sungguh besar pengorbanan mereka demi agama,” katanya kepada wartawan, Mohd Fadly Samsudin.

Kami berasa cukup bertuah apabila dapat berpeluang menziarahi perkampungan Badar.

Ketika disampaikan cerita mengenai peperangan Badar, memang berlaku banyak keajaiban dalam peperangan itu.

Antaranya, malaikat turut serta apabila bala tentera malaikat turun dari langit dengan mengenakan tanda di kepala dan berhenti di atas bukit pasir sebelum bergabung dengan tentera Muslimin menentang tentera kafir.

Dalam peperangan itu, 14 tentera Islam gugur syahid iaitu enam daripada kaum Muhajirin manakala lapan daripada kaum Ansar.

Semuanya dimakamkan di lapangan Badar dan perkuburan itu masih dapat dilihat hingga ke hari ini.

Bagi kalangan musyrikin, 70 tentera mereka terbunuh termasuk pembesar Quraisy manakala 70 lagi menjadi tawanan.

Umat Islam memperoleh banyak hikmah hasil kemenangan besar diraih dalam peperangan itu.

Antaranya, ia memberi pelajaran kepada kita supaya sentiasa bertakwa dan menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT kerana manusia sifatnya sangat lemah.

Perang Badar juga memberi gambaran, kemenangan dalam peperangan bukan bergantung kepada kuantiti sesebuah pasukan atau hebatnya kelengkapan atau senjata yang dimiliki, namun perlu kepada kekuatan jiwa.

Perang Badar memperlihatkan bagaimana pasukan Muslimin memegang teguh akidah yang benar, keinginan untuk meraih syuhada, pahala serta nikmat syurga.

Sebaliknya, orang Quraisy memiliki akidah dan moral yang sesat, terbuai dengan nikmat dunia serta taklid buta terhadap pegangan nenek moyang mereka yang menyesatkan.

KAWASAN telaga yang ditawan tentera Islam ketika Perang Badar yang masih digunakan sehingga kini oleh penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 8:35 AM