GAMBAR hiasan.
Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

ADIK perempuan saya pernah bercerai dengan suaminya dengan talak satu dan mereka kemudiannya rujuk semula.

Selepas itu, dia menceritakan kepada saya berlaku lagi pertengkaran besar di antara mereka.

Suaminya ketika itu menyatakan: “Jika aku ceraikan kau sekali lagi selepas ini, aku tidak mahu rujuk lagi.”

Seandainya berlaku lagi perceraian buat kali kedua, adakah mereka tidak boleh lagi rujuk?

SH

Johor Bahru

Apabila berlaku lafaz cerai tanpa kebenaran mahkamah, ia perlu dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pengesahan dan ditentukan jumlah talak yang dilafazkan serta baki talak.

Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri iaitu pendaftaran perceraian di luar mahkamah.

Seksyen 57 (1): “Walau apa pun Seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mah-
kamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada pelafazan talak itu melaporkan kepada mahkamah.”

Malah, lafaz cerai yang dibuat tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan di bawah enakmen sama, di bawah Seksyen 125.

Seksyen 125 menyatakan, “Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Oleh itu, bagi pasangan yang sudah bercerai di luar dan kemudiannya rujuk kembali sebagai suami isteri, mereka perlu segera membuat pengesahan cerai dan rujuk di mahkamah.

Tujuannya agar perceraian dan rujuk itu dapat direkodkan dan dijelaskan kepada kedua-dua pihak baki talak yang masih tinggal.

Dalam masalah ungkapan suami seperti soalan pembaca minggu ini, sekiranya perceraian yang dilafazkan suami secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), maka suami berkuasa merujuk isterinya selama tempoh idah.

Sekiranya perceraian yang diperintahkan bukan secara fasakh atau tebus talak, maka ia tergolong dalam perceraian yang tidak boleh dirujuk iaitu talak bain.

Talaq bain terbahagi kepada dua iaitu talak bain kubra dan talak bain sughra.

Talaq bain kubra adalah talak yang berlaku kepada pasangan sebanyak tiga kali iaitu suami menceraikan isterinya sebanyak tiga kali.

Pasangan tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya melainkan isteri menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah.

Jika ditakdirkan isteri berpisah atau suami keduanya meninggal dunia, maka barulah suami pertama berhak menikahi bekas isterinya itu.

Kategori kedua adalah talak bain sughra. Ia adalah talak yang diucapkan suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan baru walaupun isterinya dalam idah.

Sebahagian daripada talak bain sughra adalah:

1. Talak yang diputuskan oleh hakim.

2. Talak melalui khulu’.

3. Talak yang difasakhkan oleh hakim.

Seandainya suami sudah melafazkan talak kali kedua dan talak itu masih berbaki dua atau satu talak, maka ia masih dikira sebagai talak rajie dan pasangan boleh rujuk semula.

Jika suami enggan rujuk, status pernikahan terputus selepas tamatnya tempoh idah.

Sebab itu, pasangan suami isteri yang bercerai dengan atau tanpa kebenaran mahkamah perlu mengetahui jumlah talak dan jenis perceraian yang berlaku.

Pasangan juga perlu memahami prosedur yang sah jika berlakunya perceraian dan rujuk.

>>Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 9:30 AM