GAMBAR Hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

PAT pat, air meleleh, siapa  cepat dia dapat. Pat pat sampai lelah, siapa lambat, dia kalah.

Itu adalah pantun empat kerat yang menggambarkan saranan dan nasihat supaya bertindak segera dalam usaha memperoleh sesuatu. 

Mereka yang lembab dan lembik langkah untuk bertindak akan tertinggal di belakang.

Kesedaran untuk mencapai sesuatu hajat atau cita-cita adalah satu titik mula kepada bangkitnya semangat untuk berusaha gigih dan tidak mahu ditinggalkan di belakang. 

Islam menyarankan umatnya bertindak cepat dan segera melakukan sesuatu amal kebaikan dan kebajikan.

Banyak ayat al-Quran dan pesanan Rasulullah SAW yang boleh kita kategorikan sebagai saranan buat umat bersegera dalam tindakan.

Contohnya, Baginda SAW membuat satu analogi yang mana sabdanya yang bermaksud: “Mereka yang datang awal solat Jumaat, pahalanya sama seperti menyembelih (korban) seekor unta.

“Kemudian mereka yang berikutnya sama seperti menyembelih seekor lembu, kemudian sama seperti seekor kambing, sehinggalah disebutkan sama seperti seekor ayam jantan.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah SAW itu jelas satu saranan untuk kita bertindak segera dalam melaksanakan sesuatu amal ibadat mahupun amalan kebaikan yang lain. 

Hadis itu juga memberikan kefahaman bahawa mereka yang lebih awal bertindak dalam urusan dan hal kebaikan, maka merekalah yang mendapat keuntungan. 

Sedangkan golongan yang ‘liat’ dan lambat bertindak akan kerugian dalam meraih ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Peringatan Allah SWT seperti terkandung dalam Surah Ali Imran, ayat 133 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa.”

Sikap menanguhkan sesuatu tindakan akan memungkinkan kita tertinggal dan menemui kekecewaan. 

Kita mulakan dahulu dengan bertindak segera dalam aspek ibadat kepada Allah. Contohnya, pergi menunaikan solat lima waktu secara berjemaah dan biasakan diri supaya datang awal selain merebut saf pertama supaya kita dapat mencapai kategori hamba Allah yang bakal diberikan ganjaran pahala yang lebih besar daripada jemaah lain. 

Selain itu, amalan bertaubat juga perlu dilakukan dengan segera dan tidak menundanya tanpa sebarang alasan.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW mengingatkan umatnya dengan maksud: “Bersegeralah melakukan amal soleh (kebajikan) kerana akan berlaku fitnah umpama malam yang gelap gelita. Saat itu, seorang lelaki berada dalam keadaan beriman pada waktu pagi, namun kafir pada waktu petang. Begitu jugalah sebaliknya, seorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Seseorang yang segera bertaubat adalah mereka yang beruntung.

Menyegerakan taubat juga adalah  amalan yang disukai Allah. Apabila kita segera bertindak memperbaiki diri membuatkan kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang fasik kepada Allah.

Bertindak segera juga sebenarnya bukan terhad dalam urusan akhirat semata-mata. 

Segala perkara baik yang tidak melanggar hukum syarak di dunia ini juga perlu kita segerakan. 

Maka, perkara berhubung hal duniawi seperti berusaha mencari rezeki juga perlu kita bersegera dan gigih mencarinya. 

Falsafah hidup berteraskan slogan ‘Utamakan Yang Utama’ hendaklah sentiasa dipupuk kepada anak-anak kita.

Didiklah anak supaya tidak lambat dan bersikap lemah semangat dalam pembelajaran. Sebagai ibu bapa, kita perlu bijak membimbing mereka.

>>Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:48 AM