GAMBAR hiasan.
Bersama Fadly Samsudin

Rabiulawal adalah bulan kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah menjadikan kita umat paling mulia antara umat yang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 110)

Antara hak Baginda SAW yang perlu setiap umatnya penuhi adalah hak untuk Baginda disanjung dan dicintai.

Cinta kepada Baginda perlu disemat melebihi kasih sayang terhadap orang tua, isteri atau anak-anak kita sendiri.

Itulah hakikat iman yang paling sempurna.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, tidaklah di antara kalian beriman sehingga aku lebih dicintai daripada orang tua dan anaknya.” (Diriwayatkan Imam Bukhari)

Keharuman nama Nabi Muhammad SAW disebut melalui bacaan selawat dan syahadah. Baginda juga dijadikan perantara bagi termakbulnya sesuatu doa manusia kepada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW adalah manusia pertama yang akan dibangkitkan dan berhak memberikan syafaat serta pertolongannya pada hari kiamat.

Ibnu Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku diberi oleh Allah lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi selain aku dan (ketahuilah) aku mengatakannya kepada kalian bukan kerana rasa sombongku. Aku diutus kepada seluruh umat manusia, baik mereka yang berkulit merah mahupun yang berkulit hitam. Aku sudah diberi kemenangan atas musuh-musuhku dengan perasaan takut yang menghantui mereka dari jarak perjalanan satu bulan. Harta ghanimah (rampasan perang) dihalalkan bagiku padahal sebelumnya tidak. Seluruh permukaan bumi adalah masjid (tempat bersujud) dan suci dalam syariat yang ku bawa ini. Aku juga dianugerahi oleh Allah hak memberi syafaat yang aku simpan bagi umatku pada hari kiamat dan akan kuberikan kepada siapa sahaja yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.” (Riwayat Ahmad)

Sepanjang hayatnya, Baginda sering memikirkan keadaan umatnya dan mengharapkan mereka memperoleh kebaikan.

Kita mengetahui pelbagai kisah kesukaran Baginda dalam usaha menyampaikan dakwah.

Antara kisah tragik berlaku ketika Rasulullah SAW pergi ke Thaif. Di sana, Baginda me-
nerima penghinaan yang sangat menyakitkan.

Penduduk Thaif ketika itu bertindak mencaci, menghina, mencemuh dan lebih teruk lagi mereka turut melempar Nabi dengan batu dan kayu di jalan yang dilalui Baginda sehingga badan serta kakinya berdarah.

Seorang sahabat, Zaid bin Harithah yang berusaha melindungi Nabi ketika itu turut sama mengalami kecederaan.

Biarpun Nabi dihina, dicerca dan dicederakan dalam peristiwa itu, Baginda tetap mendoakan mereka supaya mendapat pengampunan Allah SWT.

Malah, malaikat penjaga gunung turut menawarkan untuk membinasakan mereka, tetapi Rasulullah SAW tidak membenarkannya kerana menyatakan mereka tidak mengetahui dan turut berdoa supaya akan lahir daripada keturunan mereka orang yang beriman.

Begitulah sifat pemaaf luar biasa yang dimiliki Rasulullah SAW yang patut kita contohi.

Ucapkanlah selawat ke atas Baginda kerana sesiapa yang banyak berselawat akan berada dekat dengannya pada hari kiamat serta Allah SWT juga akan berselawat ke atasnya.

>>Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 8:50 AM