GAMBAR hiasan.
Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

Bermula dari awal penyebaran dakwah Islam oleh Rasulullah SAW, unsur kesepaduan sudah- pun diserlahkan oleh Baginda SAW.

Umat Islam dididik dengan jayanya oleh Rasulullah SAW ketika di Makkah lagi supaya hidup umpama satu keluarga.

Kesungguhan Rasulullah SAW merencanakan sebuah kehidupan bernegara dan bermasyarakat yang saling membantu terus dipanjangkan apabila Baginda SAW dan sahabatnya berhijrah ke Madinah.

Sebelum hadirnya Islam di bumi Madinah, kehidupan masyarakatnya sering dihantui perbalahan serta permusuhan antara kaum dan penganut agama.

Namun situasi itu berjaya dipadamkan Baginda SAW menerusi Piagam Madinah sebagai tatacara dan panduan setiap rakyat.

Demikian juga halnya dalam sektor ekonomi. Jika sebelum hijrah Baginda SAW, Islam belum mendominasi bumi Madinah.

Ia dikuasai dan dimonopoli kaum Yahudi. Gaya berniaga yang sentiasa memberikan keuntungan sebelah pihak berlandaskan amalan perniagaan dan persaingan yang jijik seperti riba menyebabkan masyarakat Madinah berada dalam keadaan menderita.

Segala-galanya berubah tatkala Islam menyinari Madinah kerana ia bukan sekadar menukar corak dan bentuk masyarakat, tetapi turut mengubah landskap ekonomi yang berteraskan keadilan dan patuh syariah.

Semangat keusahawanan tinggi pada diri sekelompok umat Islam yang berhijrah ke Madinah tidak terpadam begitu sahaja.

Mereka terus terjun dalam bidang kemahiran dengan menjadi usahawan di celah ‘keriuhan’ pasar yang dikuasai kaum Yahudi.

Uthman bin Affan misalnya, beliau tidak menunggu lama untuk bergiat secara langsung dalam perniagaan.

Kekuatan Yahudi dalam ekonomi Madinah cuba dipecahkan olehnya dengan pendekatan cukup bijaksana.

Menariknya, Uthman tidak keseorangan kerana beliau turut didukung kuat umat Islam yang memberikan sambutan baik terhadap perniagaan yang diusahakannya.

Kejayaan Uthman bin Affan dan tokoh usahawan Islam yang lain ketika itu pastinya tidak akan berhasil seandainya mereka tidak disokong oleh masyarakat Islam.

Ia sekali gus menghasilkan satu fenomena baharu dalam masyarakat Madinah yang sebelum itu sumber ekonomi lebih banyak diraih kaum Yahudi sudah mula beralih kepada penguasaan umat Islam.

Kejayaan Uthman bin Affan dan rakan-rakannya membuktikan bidang ekonomi adalah bidang yang mampu dikuasai umat Islam.

Itu juga bermakna Islam adalah agama yang mengajak umatnya merebut kejayaan dalam lapangan berkenaan asalkan ia dalam lingkungan yang dibenarkan syarak.

Kempen mengutamakan produk Muslim contohnya harus dilihat dengan persepsi positif.

Utamakan produk Muslim memberi makna kita sama-sama membantu umat Islam supaya mereka berjaya dalam perniagaan yang diusahakan.

Itu adalah semangat ukhuwah Islamiah yang jitu manakala masyarakat awam pula mahukan peniaga Muslim yang mampu mengendalikan perniagaan mereka setanding bangsa dan umat lain.

Itu sebenarnya bukan bentuk semangat rasis atau diskriminasi agama. Selama ini ramai masyarakat Islam lena dalam mimpi sehingga ‘kek ekonomi’ tidak mahu direbut untuk memperoleh keuntungan.

Kini ia bertukar kepada semangat baharu di mana sudah ramai umat Islam berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Soal takut kepada risiko kerugian semakin menipis. Mereka mahu membuktikan umat Islam juga mampu melakukannya.

Usaha mahu berjaya dalam bidang ekonomi juga adalah satu bentuk jihad dalam agama.

>>Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 9:12 AM