GAMBAR hiasan
Bersama Ustaz Haslin Baharim
mimbar@mediaprima.com.my


SEKARANG didapati ada orang yang tidak pergi ke majlis ilmu kerana banyak masjid atau surau menyiarkan video secara ‘live’ menerusi laman Facebook.

Persoalannya, adakah seseorang dibolehkan menambah ilmu agamanya hanya dengan membaca buku, melayari Internet atau menonton YouTube tanpa hadir ke masjid atau surau?

Abdul Azim, Putrajaya

Jawapan Ustaz Haslin Baharim

Sebagaimana yang dimaklumi, ilmu boleh bertambah dengan beberapa cara seperti belajar, membaca dan mengamalkan.

Bagaimanapun, faktor keberkatan berhimpun dalam majlis ilmu adalah suatu yang sangat dititik beratkan dalam agama.

Menuntut ilmu adalah dengan mencari, mengembara serta berjumpa dengan para ulama.

Itu adalah seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).” (Surah al-Taubah, ayat 122)

Sudah pasti pahala mereka yang pergi ke majlis ilmu, berada dalam majlis ilmu, bertemu pencinta ilmu, pengorbanan masa, tenaga dan harta untuk hadir mendapat keberkatan dan ganjaran hebat di sisi Allah berbanding mereka yang duduk hanya menonton.

Itulah cara paling tepat sebagaimana Rasulullah SAW berjumpa dengan Jibril AS, para sahabat bertemu dengan Rasulullah seterusnya para tabiin serta diikuti oleh para ulama sehingga ke hari ini.

Bagi mereka yang tidak punyai masa, sekurang-kurangnya cara demikian boleh menambahkan ilmu, namun perlu juga diluangkan sedikit masa untuk tujuan mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:56 PM