GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

Seandainya seseorang memiliki nama yang memberi maksud kurang baik, adakah dia perlu menukar nama itu?

Islam menyuruh umatnya menggunakan nama yang baik. Pada hari kiamat kelak, mereka akan diseru dengan nama itu.

Berdasarkan sebuah hadis daripada Abu al-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Daud - 4948)

Di dalam kitab Hasyiyah al-Baijuri menjelaskan, disunatkan seseorang untuk memperelokkan namanya berdasarkan hadis di atas. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 2/305)

Jika mempunyai nama kurang elok, dianjurkan seseorang untuk mengubah kepada nama yang lebih baik.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn al-Musayyib, daripada bapanya bahawa datuknya bertemu Rasulullah SAW, lalu Nabi SAW bertanya kepadanya maksudnya: “Apa nama kamu? Maka dia menjawab: Hazn (kesukaran).

Lalu sabda Nabi SAW: Nama awak sekarang ialah Sahl (kemudahan). Maka dia berkata: Saya tidak akan menukar nama yang diberikan kepada saya oleh ayah saya. Kata Ibn al-Musayyib: Maka sejak itu, kesukaran sentiasa menimpa kami.” (Riwayat al-Bukhari - 6190)

Antara dalil yang menunjukkan galakan menukar nama kurang elok ialah hadis riwayat Ibn ‘Umar RA, katanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menukar nama ‘Asiah (pendosa) dan Baginda berkata: “Kamu Jamilah (yang cantik).” (Riwayat Abu Daud - 4952)

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, maksudnya: “Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya ‘engkau memuji diri sendiri’ maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.” (Riwayat al-Bukhari - 6192)

Oleh itu, menggunakan nama kurang elok adalah makruh. Bahkan, sekiranya nama itu termasuk dalam nama yang diharamkan dalam Islam, maka wajib menukarnya.

Dalam kitab Hasyiyah al-Baijuri menjelaskan: Dimakruhkan nama-nama yang tidak elok seperti himar (keldai) manakala haram hukumnya menamakan seseorang dengan ‘Abd al-Ka’bah (hamba Ka’bah), ‘Abd al-Hasan (hamba Hasan) atau ‘Abd Ali (Hamba Ali).

Wajib bagi seseorang menukar nama yang haram menurut pendapat yang lebih sahih. Ini kerana ia bererti menghilangkan kemungkaran. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 2/305)

Di dalam kitab Tanwir al-Qulub, turut ditegaskan wajib mengubah nama yang diharamkan dan sunat mengubah nama yang makruh.

Berdasarkan sirah Rasulullah SAW itu, jelas menunjukkan Baginda SAW menukar sebahagian nama sahabatnya sama ada lelaki atau perempuan.

Justeru, kami menasihatkan kepada ibu bapa, ketika menamakan anak sekurang-kurangnya tanya kepada ulama, adakah nama dan maksudnya itu baik atau tidak jika tidak mengetahui maksudnya.

Marilah kita sama-sama menamakan nama anak kita dengan nama baik dan mulia. Mudah-mudahan ia menjadi doa apabila sentiasa dipanggil dan disebut dengan nama yang baik.

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 9:14 AM