GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

Sahabat Rasulullah SAW, Abu Hurairah ada memberitahu bahawa Rasulullah SAW pernah suatu ketika bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya orang yang membawa seberkas kayu di atas belakangnya adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain sama ada diberi ataupun tidak.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis itu isyarat jelas dan boleh dijadikan motivasi buat umat Islam supaya giat bekerja mencari sumber rezeki untuk keperluan hidup. 

Penegasan Rasulullah SAW menerusi sabdanya itu turut memberikan makna bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya meminta-minta dalam menampung keperluan hidup. 

Islam amat menyanjung tinggi keringat yang dicurahkan bagi setiap pekerjaan yang ditekuni secara halal di sisi syarak.

Apapun pekerjaan yang dilakukan sama ada besar atau kecil mestilah tertakluk kepada hukum syarak serta hukum halal dan haramnya. 

Kehalalan sesuatu pekerjaan itu wajib dijadikan pasak utama supaya setiap sen yang diperoleh adalah sah di sisi agama.

Sebab itulah Rasulullah SAW pernah mengajar umatnya supaya memanjatkan doa kepada Allah supaya kita dikurniakan sumber rezeki yang cukup dan halal. 

Misalnya, Rasulullah SAW meninggalkan satu doa yang bermaksud: “Ya Allah, limpahkanlah kecukupan kepada kami dengan rezeki-Mu yang halal daripada memakan harta yang Engkau haramkan dan cukupkanlah kami dengan kemurahan-Mu daripada mengharapkan huluran tangan selain-Mu.” 

Doa itu terangkum dalam satu hadis yang diriwayatkan Imam at-Tirmizi dan Imam Ahmad.

Pada ketika ini, peratusan graduan menganggur di negara kita masih tinggi iaitu dianggarkan berjumlah lebih 60 peratus.

Ini bermakna ramai graduan masih buntu untuk mendapatkan kerja setara dengan kelulusan yang dimiliki mereka. 

Itulah masalah dan isu yang belum berjaya ditangani.  Kita juga mendapati ramai rakyat negara luar datang ke negara kita bagi menumpang mencari rezeki. 

Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerja asalkan dapat wang selain terpaksa meninggalkan ahli keluarga tersayang di kampung halaman semata-mata untuk mendapatkan rezeki yang lebih baik di sini.

Mereka berani berhijrah untuk mengubah nasib kehidupan dan bersedia mencurahkan sepenuhnya kudrat terhadap pekerjaan yang dilakukan.

Semangat berhijrah bagi mengubah hidup itulah yang sangat kita kagumi dan patut teladani. 

Mereka berjiwa besar serta tidak cepat mengalah dengan keadaan kehidupan mereka yang serba kekurangan.

Yang bulat pastinya tidak datang bergolek manakala yang pipih mustahil datang melayang. 

Mungkin atas prinsip itulah mereka menjadi golongan yang berjaya.

Ingatlah, agama kita sangat menyanjung tinggi sebarang usaha mencari rezeki.

Setiap usaha yang diselitkan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT pasti akan memberikan keberkatan. 

Justeru, buat graduan yang masih ‘ketandusan’ untuk mendapatkan tawaran bekerja, usah berkira-kira dengan impian kerjaya yang setara dengan ijazah yang dimiliki, namun lakukan apa sahaja pekerjaan asalkan ia halal di sisi agama dan sah di sisi undang-undang negara.

Allah SWT tidak pernah membeza-bezakan setiap hamba-Nya, sebaliknya sesiapa sahaja yang berusaha dengan ikhlas kerana-Nya, Dia pasti mencintai hamba-Nya itu.

Generasi muda mukmin pada hari ini perlu membuktikan mereka bukan pemalas dan bukan juga bersikap tunggu dan lihat sahaja peluang, sebaliknya mempamerkan semangat untuk memajukan diri.

 

>>Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 9:32 AM