GAMBAR hiasan.
Mohd Ajib Ismail

Integriti bermaksud kejujuran iaitu keadaan yang sempurna  serta  menunjukkan komitmen terhadap sesuatu. 

Ia juga bermaksud melaksanakan kerja atau amalan bersunguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara yang ditetapkan.

Dalam Islam, integriti sangat penting terutamanya dalam pekerjaan. 

Ia dikaitkan dengan istilah ihsan sepertimana maksud hadis: “Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku tentang ihsan. Rasulullah SAW menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pengertian ihsan seperti  dinyatakan dalam hadis itu ialah menyembah Allah SWT seolah-olah kita melihat-Nya. 

Ihsan dalam ibadat adalah antara martabat paling mulia dan tertinggi. 

Ibadat dilaksanakan menurut hakikat ihsan mesti ditumpukan kepada Allah SWT semata-mata.

Ibadat perlu dibina atas dua dasar penting agar memenuhi matlamat ihsan.

Pertama, cinta kepada Allah SWT iaitu berasa tawaduk dan tunduk agar timbul perasan meminta serta  mengharap hanya kepada-Nya.

Kedua, takwa, takut dan berasa kerdil apabila berhadapan dengan kebesaran dan kasih sayang Allah SWT. 

Ibadat seperti itu menyebabkan seseorang berasa lebih bertanggungjawab terhadap ibadatnya dan akan melaksanakannya dengan penuh ikhlas. 

Keikhlasan adalah asas  penting dalam menentukan kesempurnaan ibadat seseorang kepada Allah SWT.

Uniknya ihsan dalam perspektif Islam ialah manfaatnya akan kembali kepada diri sendiri. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesan yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah al-Isra’, ayat 7)

Al-Syahid Imam Hasan al-Banna berkata: “Islam menggalakkan manusia bekerja dan mencari rezeki. 

“Malah, Islam menetapkan orang yang berkemampuan wajib bekerja. Islam amat memuji pekerja-pekerja yang mahir lagi profesional. Islam juga mengharamkan manusia meminta-minta.”

Bekerja adalah sunah nabi dan usaha terbaik adalah dengan hasil usaha tangan sendiri. 

Islam mengecam mereka yang menganggur dan menjadi beban kepada masyarakat walau dengan alasan apa sekalipun. 

Konsep bertawakal kepada Allah SWT adalah dengan cara melakukan sesuatu dan boleh mendatangkan hasil. 

Jika salah satu perkara itu tidak dilakukan, ia tidak menepati konsep tawakal. 

Rezeki yang ditentukan berkait dengan usaha berterusan. 

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah, ayat 105
yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan nyata. Lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

>>Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 9:12 AM