GAMBAR hiasan. FOTO REUTERS
Mohd Shahrizal Nasir

Pensyarah UniSZA, Terengganu

SETIAP manusia dikurniakan masa yang sama iaitu 24 jam sehari untuk dimanfaatkan sebaiknya.

Hakikatnya, tempoh masa itu sebenarnya sangat lama dan boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi melakukan pelbagai urusan harian.

Sebagai seorang Muslim, setiap tindak-tanduk yang dilakukan dalam tempoh 24 jam itu perlulah termasuk dalam perbuatan ibadat.

Hanya amalan berupa ibadat sahaja melayakkan diri mendapat ganjaran pahala.

Ibadat yang dimaksudkan bukan hanya membabitkan ibadat khusus seperti solat atau membaca al-Quran sahaja.

Sebenarnya setiap amalan baik dikira sebagai ibadat jika diniatkan semata-mata kerana Allah SWT dan selari dengan ketetapan syarak.

Bekerja untuk mencari nafkah hidup juga adalah satu ibadat. Begitu juga membantu orang dalam kesusahan, mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan jiran tetangga, semua itu sebahagian daripada ibadat yang dituntut dalam Islam.

Sebagai Muslim yang cakna terhadap nikmat masa yang dikurniakan  Allah SWT, maka perbuatan yang merugikan masa perlu dielakkan.

Dalam keadaan orang lain berlumba-lumba melakukan kebaikan, tidak wajar kita membiarkan diri mensia-siakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

Perhatikan nikmat masa yang sedang kita nikmati sekarang, adakah ia benar-benar satu kurniaan yang diberkati? Keberkatan masa dapat dirasai apabila ia dimanfaatkan dengan melakukan perkara baik yang mendatangkan pahala.

Masa yang diberkati juga diakhiri dengan hasil kerja yang bermanfaat manakala tanda masa yang tidak diberkati apabila ia berlalu pergi tanpa sebarang hasil.

Ada dalam kalangan manusia dikurniakan masa lapang, namun gagal dimanfaatkannya. Itulah satu bentuk kerugian sepertimana yang pernah diingatkan Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu dengan kedua-duanya iaitu nikmat kesihatan dan waktu lapang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Akibat gagal memanfaatkan masa sebaiknya, ada segelintir manusia yang mencela masanya sendiri.

Mereka menyalahkan perjalanan masa tidak menyebelahi nasib dan kehendaknya.

Perbuatan itu dilarang oleh Allah SWT sepertimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah mencela masa kerana sesungguhnya Allah adalah (pencipta dan pengatur) masa.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, buatlah sebanyak mungkin amalan baik kerana ia bukti adanya keberkatan dalam masa yang dikurniakan oleh Allah SWT itu kepada kita hamba-Nya.

Barangkali ramai orang menyesal kerana tidak memanfaatkan masa lalunya  dengan sebaiknya, malu mengatakan, “Kalaulah aku masih muda…”, “Jika aku boleh kembalikan masa yang berlalu…”, “Ruginya tidak dapat buat perkara ini pada masa dulu…” dan sebagainya.

Semua itu antara contoh rungutan orang yang tidak mensyukuri nikmat masa yang dikurniakan kepadanya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang mengingatkan manusia  mengenai masa yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesanpesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 8:52 AM