GAMBAR hiasan.
Oleh Khuzama Ab Rahaman dan Farah Adibah Mohd Apandi

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada sebarang kemungkinan seperti musibah dan malapetaka. 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud:  “Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan secebis rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta tanam-tanaman yang tidak menjadi. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jualah kami akan kembali.”  

Musibah boleh menimpa tanpa mengira darjat, pangkat, usia, bangsa dan warna kulit. 

Ia akan mendatangkan mudarat dan penderitaan dan akhirnya kita akan menanggung pelbagai beban dan kesulitan. 

Lebih malang, kaum keluarga kita sendiri termasuk  anak dan isteri akan turut  menanggung penderitaan. 

Sebagai umat Islam yang beriman dengan ketentuan qada dan qadar Allah SWT  semestinya meyakini segala musibah yang menimpa itu adalah ujian daripada  Allah SWT.

Kita pula sebagai hamba-Nya yang taat hendaklah sentiasa bersedia menghadapinya dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Seiring dengan kemajuan teknologi serba moden dan canggih, setiap hari kita terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan memusnahkan harta benda. 

Semakin maju sesebuah negara, maka semakin tinggi untuk terdedah kepada bahaya. 

Hal itu  akan menjadi bertambah buruk apabila kita tiada sebarang persiapan.

Justeru, menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berikhtiar dan berusaha sedaya upaya bagi mengelak serta  menjauhkan diri daripada kemungkinan berlakunya musibah, malapetaka atau bencana yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan harta benda.

Islam menyuruh kita supaya merancang dan mencari jalan untuk  mengatasi musibah atau sekurang-kurangnya bagaimana hendak meringankan bebanan terpaksa dipikul oleh ahli keluarga  jika sesuatu musibah menimpa. 

Rasulullah SAW  turut mendidik umatnya  supaya jangan membahayakan diri dan mencari musibah. 

Malah,  Baginda SAW  menyuruh kita mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah sebelum ia menimpa. 

Benarlah, suatu kematian tidak dapat digantikan dengan wang ringgit, tetapi kecederaan tubuh badan pasti memerlukan rawatan dan kos yang tinggi. 

Dalam hal ini, bekalan wang secukupnya  sangat mustahak. Sekurang-kurangnya derita yang ditanggung menjadi lebih ringan. 

Pada masa  sama, penderitaan kita akan bertambah jika musibah yang menimpa itu membawa kemusnahan tempat tinggal dan kehilangan harta benda.

Kita perlu kepada  sejumlah wang sebagai bekalan menghadapi sebarang kemungkinan.

Antara  ikhtiar yang boleh dirancang dan diusahakan bagi mencapai matlamat itu ialah dengan cara mendapatkan perlindungan menerusi Sistem Takaful. 

Dalam Sistem Takaful, semua aktiviti  dikawal selia oleh jawatankuasa syariah  bagi memastikan semua operasinya sama ada  produk, pelaburan dan juga pengurusan  selaras dengan prinsip syariah.

Sistem Takaful tidak hanya bermanfaat kepada Muslim sahaja, malah turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama.

Sejajar dengan perkembangan semasa, Takaful Ikhlas Keluarga Berhad dan Takaful Ikhlas Am Berhad sebagai Pengendali Takaful tampil bagi memenuhi tuntutan keperluan perlindungan oleh masyarakat.

Takaful Ikhlas Keluarga Berhad  mengambil langkah  proaktif dengan menawarkan produk berkaitan perlindungan diri dan keluarga, pelan perlindungan kesihatan dan perubatan yang inovatif.

Takaful Ikhlas Am Berhad pula menawarkan produk yang lebih komprehensif berkaitan perlindungan diri dan harta daripada kerugian atau kerosakan akibat sebarang bencana yang boleh memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat sama ada  individu atau badan korporat.

Kedua-dua  pengendali  Takaful itu  sentiasa optimis menawarkan pelbagai produk 2 dalam 1 untuk perancangan kewangan gantian pendapatan keluarga dan bantuan kemusnahan harta benda.

 

>>Penulis daripada Jabatan Syariah dan Perundingan Perniagaan, Takaful Ikhlas Keluarga Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 8:00 AM