GAMBAR hiasan
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Tidak dinafikan, antara wanita dan lelaki ada perbezaannya, tetapi ia bukanlah perbezaan mutlak.

Bagaimanapun, sisi persamaan wanita dan lelaki ialah mereka diciptakan untuk menjadi hamba serta khalifah Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat, ayat 56)

Prof Dr Wahbah Zuhaili menerangkan maksud ayat itu dalam Tafsir al-Wajiz iaitu: “Allah tidak menciptakan jin dan manusia kecuali diperintahkan bagi mereka untuk beribadat kepada-Nya saja tanpa menyekutukan-Nya, kemudian Allah balas atas amalan-amalan mereka, maka barangsiapa yang beramal baik, maka dibalas dengan syurga, dan barangsiapa beramal dengan amalan buruk, maka dibalas dengan azab neraka.”

Syaikh Asy Syinqiti dalam tafsir Adhwaul Bayan menafsirkan ayat Surah al-Zariyat iaitu: “Kecuali untuk diperintahkan beribadat kepada-Ku, dan menguji dengan diberikan beban (perintah dan larangan), kemudian mereka akan dibalas berdasarkan amalan mereka, jika baik, maka akan dibalas dengan kebaikan, jika buruk maka akan dibalas dengan keburukan.

Kemudian Syaikh Al-Bassam pula menerangkan ayat itu maksudnya: “Agar Aku tuntut mereka untuk beribadat kepadaKu, maka Aku balas bagi orang-orang yang ikhlas dan aku azab bagi orang-orang yang berbuat keburukan.”

Seterusnya, dalam Tafsir as-Sa’di oleh Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di menyebut, “Inilah tujuan Allah SWT menciptakan jin dan manusia. Dia mengutus para rasul untuk menyeru kepada-Nya iaitu untuk beribadat kepada-Nya yang di dalamnya mengandung makrifat (mengenal)-Nya dan mencintai-Nya, kembali kepada-Nya, dan mendatangi-Nya serta berpaling dari selain-Nya.”

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 30, Allah SWT menjelaskan: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”

Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?”

Imam Masjidilharam menjelaskan makna khalifah menerusi ayat, (Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”

Apa yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat itu adalah Nabi Adam. Kalimat itu ditujukan oleh Allah SWT kepada malaikat bukan bertujuan meminta pendapat, tetapi bagi mengeluarkan apa yang ada dalam diri mereka.

Ulama berpendapat, perkataan itu berasal daripada ilmu yang diajarkan Allah SWT kepada malaikat.

Mereka pada dasarnya tidak mengetahui hal ghaib.

Qatadah berpendapat, Allah mengetahui akan ada antara khalifah ini yang akan menjadi nabi-nabi dan rasul-rasul, orang-orang soleh dan penghuni syurga.

Terdapat pihak mengatakan, tidak relevan pensyariatan Islam terhadap golongan Muslimah.

Malah, ada individu beragama Islam sendiri terlalu mengongkong dan melakukan keganasan terhadap isteri.

Bagaimanapun, nikmat dan rahmatnya syariat Islam, ia membebaskan wanita daripada sebarang belenggu.

Allah SWT berfirman: “Dan barangsiapa mengerjakan amal yang soleh, baik lelaki mahupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” (Surah al-Mu’min, ayat 40)

Islam menolak konsep superior dalam hierarki hanya berdasarkan satu jantina, bangsa atau warna kulit ke atas yang lain apabila Islam memperkenalkan konsep yang paling mulia ialah yang paling bertakwa.

Allah SWT mengangkat martabat wanita penuh kemuliaan dalam semua fasa kehidupan.

Wanita sebagai anak perempuan dimuliakan dan diperintahkan ibu dan bapa menjaganya dengan baik sebagai peluang untuk bebas daripada api neraka.

Wanita sebagai isteri, suami diperintahkan berbuat baik kepadanya sebagai salah satu penanda aras kebaikan agamanya.

Wanita sebagai ibu, perintah berbakti kepadanya disebut sendiri dalam al-Quran dan banyak dijelaskan dalam hadis Nabi SAW.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:58 AM