BERGAMBAR kenangan di Lembah Safari di Ethiopia sebelum ke Palestin.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari al-Masjid al-Haram (di Makkah) ke al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra’ 17: 1)

Bersandarkan firman Allah SWT, bumi Palestin ternyata adalah tanah yang diberkati dan menjadi saksi terhadap usaha nabi dan rasul utusan Allah menyampaikan akidah tauhid kepada manusia sejak zaman berzaman.

“Kisah Palestin tidak asing lagi dan di tanah yang diberkati inilah disemadikan jasad utusan Allah SWT,” kata ahli perniagaan, Datuk Md Zairi Zainal yang berkongsi pengalamannya berkunjung ke Palestin pada awal Februari lalu bersama wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

“Antaranya ialah Nabi Ibrahim, Luth, Ishaq, Ya’qub, Yusuf, Daud, Sulaiman, Zakaria, Yahya dan ramai lagi membabitkan nabi serta rasul,” katanya.


MAKAM Siti Sarah di Kompleks Masjidil Al Aqsa Palestin.

Saya dan tiga sahabat berkelana di Palestin selama tujuh hari dan pengalaman itu sangat berharga.

Perjalanan kami ke lokasi ini semua tidak lain tidak bukan semata-mata kerana rindu dengan kisah nabi dan rasul.

Bagaimanapun, sebelum ke Palestin, kami sempat mengembara ke Ethiopia selama empat hari.

Pada hari kelima, sebaik 35 pelancong Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ethiopia, kami menyertai rombongan itu dan sama-sama menaiki penerbangan Ethiopia ke Tel Aviv, Israel.

Penerbangan itu mengambil masa kira-kira dua jam setengah dan kami mendarat di Lapangan Terbang Tel Aviv pada waktu Maghrib.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Tel Aviv, kami menginap di hotel dan selepas bersarapan pada keesokan paginya, kami meneruskan perjalanan ke Jurusalem, Palestin.

Aktiviti ketika di Jurusalem dipenuhi dengan lawatan ke kompleks Masjidi Al-Aqsa yang kini terbahagi kepada empat bahagian iaitu untuk orang Islam, Kristian, Yahudi dan Majusi.

Kami meneroka ke tiga bahagian kecuali Majusi.


RUMAH di mana Maryam, ibu Nabi Isa AS dibesarkan dalam Kompleks Masjidil Al Aqsa Palestin.

Kami dapat masuk ke tempat lahirnya Maryam dan tempat Nabi Isa didakwa disalib. Bahagian ini dikatakan jarang dikunjungi orang Islam.

Namun pengalaman yang sukar untuk dilupakan ialah apabila kami dibenarkan melepasi kawalan keselamatan tentera Zionis.

Tentera Yahudi itu berkata, ‘Malaysia Boleh’, ‘Mahathir’ sebelum kami dibenarkan masuk.

Kami turut menziarahi rumah Nabi Yahaya serta Nabi Zakaria, tempat Maryam dilahir dan dibesarkan.

Rupa-rupanya, rumah berkenaan terletak di bawah tanah dalam Kompleks Masjidil Aqsa.Selain itu, bukan saja rumah malah ada kolam renang yang dibina kira-kira 2,000 tahun lalu, bilik mandi Nabi Zakaria yang juga bapa saudara Maryam yang dibina dengan ditebuk sebelum disimen selain dapur.

Kami juga menziarahi bahagian Yahudi dan menyaksikan mereka membaca Taurat dan meratib di makam Nabi Daud.

Selepas itu, kami ke bahagian Islam. Masjidil Aqsa ini mempunyai tiga lapisan dengan
di bahagian bawahnya turut mempunyai masjid.

Bagaimanapun, masjid itu kini dijadikan perpustakaan. Di lapisan bawahnya pula, ada lagi masjid lama yang menggunakan tiang unik dan reka bentuk zaman berkenaan.

Bukan itu saja, kami turut berusaha sebaik mungkin untuk mengambil keberkatan dengan solat fardu di Masjidil Aqsa sepanjang seminggu di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:55 AM