GAMBAR hiasan.
Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

Saya seorang wanita berusia 33 tahun dan sudah berkahwin enam tahun lalu.

Sepanjang lima tahun perkahwinan, kami tidak dikurniakan zuriat. Pada April lalu, saya ada berhubung dengan bekas tunang dan beberapa kali berjumpa secara sembunyi dan terlanjur.

Sekarang saya sedang hamil dan suami sangat gembira.

Namun, saya tidak pasti kandungan itu hasil benih suami atau hubungan yang berlaku bersama bekas tunang sebelum ini.

Saya sangat menyesal dan ingin tahu apa tindakan sebaiknya yang boleh saya lakukan?

Isteri Buntu,

Johor Bahru

Hubungan seks tanpa nikah jelas pengharamannya dalam Islam. Apatah lagi hubungan seks dilakukan pasangan yang sudah bernikah.

Pengharaman itu mempunyai alasan dan hikmah yang luas.

Antaranya, ia memberi kesan terhadap kerukunan rumah tangga serta menjejaskan nasab atau keturunan.

Makna nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa).

Contoh, nasab bapa pertalian keluarga sebelah bapa, nasab ibu pertalian keluarga sebelah ibu, penasaban hal berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, pewalian, pewarisan dan pergaulan dalam keluarga.

Apabila menyentuh isu nasab, ia turut memberi kesan terhadap perwalian, nafkah, pusaka- mempusakai dan aurat serta pergaulan dalam keluarga.

Status sebagai isteri sewajarnya dihormati dan mempunyai kedudukan tinggi di sisi syarak.

Jika berlaku perzinaan ketika isteri masih bersuami, hukumannya amat berat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nuur, ayat 2)

Namun begitu, sebagai hamba dan pendosa, kita disuruh bertaubat atas dosa yang dilakukan.

Apatah lagi jika melakukan dosa besar seperti berzina. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan berazam untuk tidak mengulangi lagi perbuatan itu.

Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar, ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Penyesalan yang puan rasakan adalah suatu yang baik dan hendaklah disusuli dengan bertaubat kepada Allah.

Anak yang bakal lahir itu adalah makhluk yang diciptakan Allah dan tetap suci daripada dosa.

Kegembiraan suami pula pastinya bertambah kerana setelah sekian lama menanti kehadiran cahaya mata dan akhirnya dimakbulkan.

Tidak sewajarnya anak dan suami mendapat kesan daripada kesilapan yang puan lakukan.

Ulama bersepakat, dalam isu sedemikian khususnya apa tidak diketahui seperti benih bayi dalam kandungan isteri sama ada benih lelaki lain atau suaminya, maka hendaklah dinasabkan kepada suami wanita berkenaan.

Melainkan, jika suami meragui nasab anak berkenaan dan menafikan bayi itu anaknya, bolehlah suami memohon untuk mendapatkan pengesahan nasab atau melakukan lian.

Walau bagaimanapun, puan disaran meneruskan usaha mendapatkan keampunan Allah SWT dengan bertaubat bersungguh-sungguh.

Mudah-mudahan Allah SWT memberi jalan penyelesaian terbaik buat puan sekeluarga.

>>Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:06 AM