GAMBAR hiasan.
Oleh Fahimi Zakaria

KHURAFAT ialah cerita karut marut yang mempesonakan.

Jabatan Kemajuan Islam Ma-laysia (Jakim) dalam garis panduan Khurafat dan Azimat menyatakan khurafat sebagai cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.” (Jakim, 2008)

Melalui takrif ini, jelas bahawa khurafat adalah perbuatan syirik dan dosa besar lantaran ia merosakkan akidah kerana mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak ampunkan dosa syirik sementara Dia memaafkan dosa-dosa yang lain. Maka sesiapa yang mempersekutukan (syirik) kepada-Nya sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah al-Nisa’, ayat 48)

Mereka yang melakukan perbuatan khurafat wajib bertaubat kepada Allah SWT untuk menyelamatkan akidah daripada kekufuran.

Bulan Safar yang mulia ini sering disalah tafsir dengan nasib baik atau buruk melalui amalan tertentu seperti puasa, mandi dan solat khusus.

Selain itu, ada yang percaya kepada burung tertentu yang membawa kesan dalam kehidupan dan penularan penyakit.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada penularan penyakit, tiada thiyarah, tiada nasib malang pada burung hantu dan tiada musibah pada bulan Safar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menjadi kebiasaan orang jahiliah mempercayai amalan tathayyur iaitu burung yang menentukan nasib baik buruk apabila mereka mahu keluar sama ada untuk berniaga atau bermusafir.

Jika burung itu terbang ke kanan bermaksud musafir mereka selamat. Jika ia terbang ke kiri, maka musafir mereka perlu ditangguh kerana ada malang sedang menanti.

Rasulullah SAW menyebut: “Sesiapa yang menangguhkan hajatnya kerana mempercayai burung sesungguhnya dia melakukan perkara syirik.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sebahagian masyarakat Islam hari ini masih mempercayai nasib seperti itu.

Contoh, larangan perkahwinan dalam bulan Safar kerana sial dan pasangan itu tidak akan dikurniakan zuriat.

Allah SWT yang memberi zuriat kepada dan ia tiada kena- mengena dengan bulan Safar.

Itulah kepercayaan yang menjadi prinsip akidah umat Islam melalui rukun Iman keenam iaitu beriman kepada qada’ dan qadar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) tiada sesuatu pun akan menimpa kami melainkan dengan ketentuan Allah. Dialah penolong kami, maka hendaklah orang yang beriman itu bertawakal kepada Allah.” (Surah al-Taubah, ayat 51)

Perbuatan menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah perbuatan syirik.

Rasulullah SAW memberi amaran: “Menyandarkan keburukan kepada sesuatu ialah syirik dan tidak termasuk ke dalam golongan kami melainkan mereka yang beriman sahaja. Sesungguhnya Allah menghilangkan syirik itu dengan tawakal.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sepatutnya tahun baharu 1441 hijrah diraikan dengan mengubah diri kita ke arah nilai keislaman yang lebih baik.

>>Penulis pensyarah Centre for Fundamental Studies, Management & Science University (MSU)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:03 AM