GAMBAR hiasan.
QIRA'AH FATWA

Apa hukumnya menjawab kiriman salam daripada seseorang dan bagaimana pula cara menjawabnya?

Amalan mengirim salam sudah dilakukan sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Seorang sahabat pernah menyuruh anaknya berjumpa Nabi SAW dan berpesan untuk menyampaikan salam kepada Baginda.

Kata anaknya: “Aku pun datang menemui Baginda. Aku sampaikan: “Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu.”  Lalu Nabi SAW menjawab: “Untukmu dan untuk bapamu balasan salam.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra)

Pengarang ‘Aun al-Ma’bud dalam kitab Fath al-Wadud, katanya: “Ini menunjukkan Rasulullah SAW juga menjawab kepada yang membawa pesanan salam itu.”

Dicatatkan juga bagaimana malaikat Jibril menitipkan salam melalui Nabi SAW kepada Aisyah R.Anha kerana Aisyah tidak dapat melihat Jibril. 

Saidatina Aisyah menceritakan: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau menyampaikan salam untukmu.” Lalu saya menjawab: “Wa’alaikum salam warahmatullah.” Nabi SAW melihat apa yang tidak saya lihat. (Riwayat a-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Imam Ahmad, Saidatina Aisyah R.Anha menjawab salam itu dengan lafaz: ‘alaika wa ‘alaihis salam warahmatullahi wabarakatuh, maksudnya: “Untuk anda dan untuknya salam, rahmat Allah dan keberkatan-Nya.” (Riwayat Ahmad)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis Aisyah dalam riwayat Muslim itu menyebut: “Menjawab salam seperti ini hukumnya wajib segera. Demikian juga jika dia menerima salam pada kertas (surat) daripada orang yang berada di jauh, wajib dia menjawab secara lisan dengan segera ketika dia membacanya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 15/211)

Imam Nawawi turut berkata dalam kitab al-Majmu’: Apabila seseorang memanggil dari belakang dinding atau seumpamanya dengan berkata: “al-Salam ‘alaik, wahai fulan” atau seseorang menulis surat dan memberi salam di dalamnya kepada penerima surat atau seseorang mengutuskan seorang utusan dengan katanya: “Sampaikan salamku kepada fulan,” maka apabila sampai kepada orang itu surat atau orang utusan, wajib ke atas orang berkenaan menjawab salam dengan segera.”

Jelaslah di sini, apabila seseorang datang dan menyebut ada seseorang menyampaikan salam, kita perlu segera menjawabnya.

Kita juga disunatkan membalas salam kepada penyampai salam berkenaan. 

Imam Nawawi berkata: Disunatkan juga membalas salam kepada utusan yang menyampaikan salam bersama orang yang menyampaikan salam dengan berkata: “Wa’alaika wa’alaihis salam warahmatullahi wabarakatuh” bermaksud: "Ke atas kamu (utusan yang membawa salam) dan ke atas dia (yang menyampaikan salam) keselamatan, rahmat dan keberkatan daripada Allah jua.”

Dalam perkara ini, terdapat hadis dalam Sunan Abi Daud, isnadnya lemah, tetapi hadis-hadis fadhail diamalkan padanya dengan hadis dhaif.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/594)

Daripada perbincangan itu, apabila kita menerima salam daripada seseorang, wajib kita menjawab salam itu dengan segera.

Kita juga disunatkan menjawab salam kepada orang yang membawa pesanan salam itu.

Asal tahiyyat ialah doa dengan kehidupan dan tahiyyat bagi Allah dengan maksud salam dan keselamatan daripada sebarang kebinasaan. Al-Kisa’ie memaknakan tahiyyat bagi Allah dengan makna keberkatan.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:24 AM