DR Nurkhamimi ketika berada di pintu gerbang utama menuju Taj Mahal yang digelar Darwaza.
hmdigital

ISLAM adalah agama kedua terbesar di India di mana terdapat lebih 200 juta umat Islam di sana.

Penyebaran Islam ke India bermula pada abad ke-7 melalui beberapa cara antaranya  perdagangan oleh pendakwah.

Dari  situ, kaedah perkembangan Islam terbahagi kepada dua iaitu pengembara asing yang datang ke India atau penduduk India yang mengembara, seterusnya memeluk Islam secara bertahap melalui pelbagai cara dakwah.

“Kemasukan agama Islam ke India terjadi dalam tiga gelombang. Pada abad ke-8, orang Arab datang kemudian pada abad ke-12, orang Turki manakala orang Afghanistan masuk ke India pada abad ke-16.

“Sejarawan juga melaporkan, pedagang Arab sudah  lama berhubungan dengan India. Pedagang Arab belayar ke pantai barat India untuk memperdagangkan bahan seperti rempah- ratus, emas dan barang dagangan lain,” kata Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin yang berkongsi pengalamannya berkunjung ke India dengan wartawan, Mohd Fadly Samsudin.

Antara monumen seni bina Islam yang penting di India adalah Qutub Minar iaitu menara bata tertinggi di dunia.

Menara itu terletak di dalam kompleks Qutb di selatan Delhi. Qutub Minar dan monumen di sekelilingnya  disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).


ANTARA tinggalan monumen yang terdapat di kawasan Qutub Minar yang dilawati.

Monumen itu memainkan peranan penting bagi menyeru orang ramai  solat di Masjid Quwwat al-Islam iaitu masjid terawal dibina sultan-sultan Delhi.

Ia mempunyai ketinggiaan l72 meter dengan 399 anak tangga untuk menuju ke puncak.

Qutb al-Din Aibak adalah pemerintah Islam Delhi pertama yang memulakan pembinaan Qutub Minar pada 1193 tetapi hanya dapat menyiapkan tapaknya sahaja.

Pewarisnya, Iltutmish menambah tiga tingkat lagi. Pada 1368, Firuz Shah Tughluq membina tingkat kelima dan terakhir.

Gaya seni bina dari zaman Aibak hingga Tughluq jelas dipamerkan pada menara berkenaan.

Qutub Minar dibina menggunakan batu pasir merah berjejalur dihiasi dengan ukiran dan ayat-ayat al-Quran.

Selain itu, India turut mempunyai Taj Mahal yang dikatakan sebagai permata seni bina Islam yang cukup mengagumkan.

Malah, ia turut tersenarai sebagai  salah satu  daripada Tujuh Keajaiban Dunia’ paling indah pernah dibina.

Dibina oleh Maharaja Shah Jahan (1614-1666) sebagai monumen peringatan untuk isteri kesayangannya, Mumtaz Mahal.

Pada 1983, Unesco mengisytiharkan Taj Mahal sebagai Tapak Warisan Dunia yang perlu dilindungi.

Pembinaan Taj Mahal bermula pada 1631 ketika Shah Jahan menjadi Maharaja Dinasti Mughal setahun selepas kematian isterinya.


DR Nurkhamimi bergambar berlatarbelakangkan Taj Mahal yang menjadi satu daripada tujuh benda ajaib di dunia.

Ketika pemerintahan Shah Jahan, struktur itu dikenali sebagai rauza. Kemudian, ia dipanggil Taj Mahal yang diambil daripada nama Mumtaz Mahal.

Mumtaz meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka ke-14 iaitu Begum Gauhara ketika Shah Jahan berada di medan perang.

Ketika itu, Shah Jahan dalam kempen memperluaskan tanah jajahannya.  Arkitek utama bangunan itu adalah Ustaz Ahmad Lahauri.

Taj Mahal adalah sebuah kompleks bersepadu yang mempunyai  makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan lain-lain.

Ketika pembinaannya, Ustaz Ahmad mengumpulkan 20,000 pekerja terdiri daripada tukang batu, tukang emas dan pengukir masyhur dari seluruh dunia.

Apa yang membuatkan saya terpegun adalah keindahan seni bina kubah serta menara Taj Mahal yang diperbuat daripada marmar putih diimport dari Rajasthan.

Sebanyak 43 jenis batu permata digunakan antaranya firus dari Tibet, lazuardi dari Afghanistan, berlian, jed dan hablur dari China, kristal, topaz dan nilam dari Sri Lanka serta kamelian dari Arab.

Pembinaan Taj Mahal mengambil masa selama 22 tahun. Sebanyak 1,000 gajah juga turut digunakan bagi membawa barang binaan  dari seluruh India ke Agra sebelum pembinaannya siap  pada 1653.

Ayat suci al-Quran turut menghiasi Taj Mahal. Khat thuluth menjadi seni kaligrafi yang terdapat pada dindingnya.

Antara surah yang terlakar di Taj Mahal termasuk  surah ash-Shams, al-Ikhlas, al-Fajr, ad-Dhuha, at-Tin, Fatir, At-Takwir, al-Infitar, al-Inshiqaq dan al-Bayyinah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:37 AM