GAMBAR Hiasan
hmdigital

INSAN berakhlak mulia akan sentiasa menjaga adab, tingkah laku serta tutur katanya supaya tidak menyakiti orang lain, malah sentiasa berusaha memberi manfaat kepada orang yang berada di sekelilingnya.

Abu Darda berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amal yang menjadikan timbangan seorang Mukmin berat pada hari kiamat adalah akhlak mulia. Sesungguhnya Allah SWT benci orang yang melampaui batas dan tidak bersopan santun.Dalam membicarakan perihal akhlak juga, ada orang yang berakhlak cela. Golongan itu mempamerkan segala perbuatan dan percakapan yang dianggap buruk dan keji seperti kedekut, menipu, zalim, riyak dan mementingkan diri sendiri.Abu Hurairah berkata, Rasulullah pernah ditanya mengenai hal yang paling banyak menyebabkan seseorang masuk syurga. Baginda menjawab, “Takwa kepada Allah dan berakhlak mulia.” Selain itu, Rasulullah menyatakan dalam satu hadis riwayat al-Darimi yang bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya.” Jelas, seseorang yang dihiasi kesempurnaan akhlak menandakan dia juga mempunyai kesempurnaan iman.Abu Dzar meriwayatkan, Rasulullah pernah berpesan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada, ikutilah perbuatan buruk dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang terpuji supaya perbuatan baik itu dapat menghapus dosa perbuatan buruk (yang kamu lakukan), bergaullah dengan orang lain dengan menggunakan akhlak terpuji.” (Sunan Tirmizi) Rasulullah juga selalu memohon kepada Allah supaya akhlaknya diperbaiki sebagaimana tubuh badannya diciptakan dalam keadaan baik dan sempurna.Aisyah berkata, Rasulullah sering berdoa, “Ya Allah, sebagaimana Engkau menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.” (Musnad Imam Ahmad) Di dalam buku Ensiklopedia Akhlak Rasulullah menerangkan, proses pembentukan hati dan akhlak perlu melalui tiga proses iaitu takhalli, tahalli dan tajalli.

Takhalli bermaksud membersihkan diri daripada sifat tercela sama ada zahir atau batin. Bagi melakukan hal berkenaan, seseorang perlu mengenal penyakit hati yang bersarang dalam dirinya, kemudian dia perlu berusaha membersihkan dengan meninggalkan perbuatan berkenaan.

Tahalli pula adalah menghiasi diri dengan akhlak terpuji. Selepas mengosongkan jiwa daripada akhlak buruk, seseorang akan mudah memasukkan akhlak terpuji ke dalam dirinya.Apabila menjadi kebiasaan berakhlak dengan akhlak yang baik, jiwa manusia menjadi tenang iaitu di tahap tajalli. Pada peringkat itu, perasaan seseorang sentiasa mempunyai rasa bertuhan, merasakan Tuhan sentiasa dekat serta mengawasi tindak-tanduknya.Orang yang baik akhlak juga menerima ganjaran serta berpeluang berada hampir dengan Rasulullah pada hari akhirat kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 7:49 AM