GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

Bolehkah mengambil wuduk dengan memakai cincin? Jika boleh, bagaimana caranya?

Allah SWT memerintahkan seseorang mengambil wuduk sebelum mengerjakan ibadat tertentu seperti solat, tawaf dan memegang mushaf al-Quran.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua-dua tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua-dua kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.” (Surah al-Maidah, ayat 6)

Wujud kelebihan bagi orang yang melaksanakan wuduk dengan sempurna dan sebaik-baiknya.

Antaranya, hadis yang diriwayatkan Uthman Ibn ‘Affan RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengambil wuduk dan menyempurnakan wuduknya dengan sebaik-baiknya, maka keluarkan dosa-dosa daripada jasadnya sehingga keluar juga daripada celahan kuku-kukunya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pada asalnya, hukum memakai cincin bagi lelaki adalah harus kecuali cincin itu diperbuat daripada emas.

Cincin yang diperbuat daripada emas diharamkan ke atas lelaki berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.” (Hadis Riwayat Muslim)

Manakala, bagi perempuan pula, ijmak ulama menyatakan keharusan perempuan untuk memakai emas sebagai perhiasan buat dirinya dan ijmak ulama mengatakan haram bagi lelaki. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim lin Nawawi, 14:65)

Berkenaan hukum dan cara mengambil wuduk dengan memakai cincin, ulama berbeza pandangan kepada dua pendapat iaitu:

• Jumhur fuqaha’ berpendapat wajib untuk menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh tangan untuk mengambil wuduk jika cincin itu ketat dan sempit ruangnya yang tidak dapat dipastikan air sampai ke dalamnya.

Namun, sekiranya cincin itu longgar atau dapat dipastikan air sampai kepada kulit, maka tidak wajib menggerak-gerakkan cincin itu, bahkan sunat sahaja untuk melakukannya.

• Ulama Malikiyyah pula berpandangan, tidak wajib mengubah kedudukan cincin pada jari seseorang yang berwuduk walaupun ia ketat, jika sekiranya cincin itu daripada apa yang dibenarkan oleh syarak. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11:30)

Bagaimanapun, berbeza keadaannya jika seseorang mengangkat hadas dengan bertayammum.

Jumhur ulama daripada Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah bersepakat, perlu menanggalkan cincin ketika bertayammum bagi memastikan debu-debu tanah itu sampai kepada kulit orang yang bertayammum itu. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11:31)

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan itu, kami berpendapat sah wuduk bagi seseorang yang memakai cincin.

Namun, sekiranya cincin yang dipakai itu agak ketat dan tidak dapat dipastikan air mengenai kulit di bawahnya, maka wajib untuk dia mengerak-gerakkan cincinnya bagi memastikan air mengenai kulit.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 8:01 AM