Gambar hiasan.
AL-FIQH

1. Kenapa zakat harta seperti emas dan perak dikeluarkan pada setiap tahun (selagi mencukupi nisabnya) tidak sama dengan buah-buahan dan biji-bijian (walaupun disimpan beberapa tahun) tetapi diwajibkan zakatnya hanya sekali sahaja dan tidak diwajibkan pada setiap tahun selagi tidak digunakan bagi tujuan perniagaan?

Zakat harta seperti emas dan perak dikeluarkan pada setiap tahun kerana harta itu ada keuntungan yang terhasil dengan sendirinya dan lagi disimpan untuk mendapat manfaatnya dan boleh dijual beli pada bila-bila masa.

Berlainan pula dengan buahan atau biji-bijian seperti tamar, anggur dan seumpamanya kerana ia tidak boleh mendatangkan keuntungan dengan sendirinya, bahkan ia menjurus kepada kerosakan dan kebinasaan jika disimpan lebih lama.

2. Adakah diwajibkan zakat ke atas emas dan perak yang bercampur dengan sesuatu yang lain?

Emas yang bercampur dengan perak atau tembaga, maka wajib dikeluarkan zakatnya jika mencukupi nisabnya.

Jika emas dan perak itu sudah dibersihkan daripada sebarang campuran dan cukup nisabnya, maka wajib dikeluarkan zakat yang sudah dibersihkan itu.

Tetapi sekiranya belum lagi dibersihkan dan mencukupi nisabnya, maka wajib dikeluarkan zakat bagi emas atau perak yang masih bercampur dengan sesuatu yang lain itu dengan syarat zakat dikeluarkan itu tidak kurang nilainya daripada zakat yang dibersihkan pada hak zakatnya.

Adapun sesuatu yang bercampur dengan emas dan perak itu tidak termasuk dalam hak zakat bahkan dikira sebagai sedekah sunat sahaja.

3. Apakah hukum seorang membeli bejana diperbuat daripada emas atau perak dengan tujuan sebagai perhiasan?

Tiba-tiba, dia menghadapi kesukaran dan tidak dapat lagi menjadikan bejana itu sebagai barang perhiasan, lalu digunakan bejana itu untuk bersuci kerana tiada bekas lain. Begitulah keadaannya selama satu tahun.

Adakah dia diwajibkan zakat?

Yang paling hampir mengikut pendapat Syeikh Azra’i ialah tidak diwajibkan zakatnya kerana tujuan asal adalah untuk membuat barang perhiasan yang diharuskan.

4. Apakah hukum jika seseorang itu menyimpan emas 20 miskal (85 gram) selama setahun. Adakah jika tidak mengambil manfaat daripadanya tidak dikenakan zakat?

Diwajibkan zakat kerana dia tidak mengambil manfaat daripadanya sama ada dipakai atau diberi kepada orang lain. Begitu juga jika dia memiliki barang perhiasan yang diharamkan atau makruh seperti rantai atau gelang yang dipakai oleh lelaki, walaupun ia dimanfaatkan, tetapi diwajibkan zakat.

Sumber: Furu al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il oleh Maulana al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan disusun oleh Almarhum Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 8:17 AM