GAMBAR hiasan
Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki

AMARAN diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung mereka yang mengaitkan sesuatu kes jenayah dengan sentimen perkauman dan agama menerusi sebaran media sosial akan dikenakan tindakan seharusnya dijadikan pedoman.

Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik artikel berbaur hasutan boleh mencetuskan perasaan sakit hati dan salah faham sekiranya tidak dibendung.

Kecanggihan teknologi maklumat terutamanya pada era revolusi perindustrian 4.0 yang berteraskan Internet menyebabkan maklumat dapat disebar dan diakses dengan begitu cepat sekali.

Gejala fitnah sudah beralih kepada medium di media sosial yang membenarkan sesiapa sahaja melayarinya di mana sahaja dan tanpa had masa.

Saluran media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, WeChat, Twitter, Flicker, Instagram, blog dan sebagainya berfungsi mempercepatkan penyampaian maklumat seolah-olah tiada pengawalan berlaku.

Natijahnya, ada hubungan kekeluargaan yang retak menanti belah, hubungan persahabatan bertukar permusuhan dan perceraian suami isteri juga boleh berlaku akibat penularan fitnah.

Al-Quran mendidik manusia berhati-hati apabila menerima maklumat atau berita daripada sesuatu pihak.

Allah SWT memerintahkan golongan beriman memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

Dalam ayat itu, penggunaan perkataan fatabayyanu bererti maka periksalah dengan teliti menunjukkan betapa pentingnya menapis sumber berita sebelum ia disebarkan.

Amalan tabayyun (menyelidik terlebih dahulu) itu amat dituntut syarak bagi memastikan setiap maklumat yang disebar tepat, diperoleh daripada sumber sahih serta boleh dipercayai.

Sebagai orang beriman, kita harus berhati-hati dalam tutur kata serta penulisan yang boleh mengundang implikasi negatif kepada orang lain.

Dalam Surah Qaf, ayat 16 hingga 18, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Ingatlah) ketika dua malaikat mencatatkan (perbuatannya), yang satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri. Tidak ada suatu kata yang diucapkan melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).”

Sewajarnya, apabila kita meyakini setiap tutur bicara, malah perbuatan yang dilakukan secara sembunyi sekalipun akan dihisab di hadapan Allah SWT.

Sebaiknya sebarang isu dan perkara yang tular jangan terus disebarkan.

Jadilah penerima maklumat yang bijak dan buatlah sebaran sekiranya ia membawa manfaat, bukannya mudarat.

Penulis penuntut Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 9:06 AM