Gambar hiasan.
Bersama Fahimi Zakaria

Ekonomi atau muamalat adalah satu daripada cabang dalam agama Islam yang menjadi teras dalam hukum hakam hubungan sesama Muslim.

Ia membawa kepada perbahasan soal halal dan haram, dosa pahala serta syurga dan neraka.

Islam menyuruh umatnya saling bantu-membantu untuk meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi termasuklah dalam urusan ekonomi.

Rasulullah SAW sendiri pergi berdagang bersama pedagang Arab Quraisy sejak kecil lagi.

Allah SWT merakamkan amalan kebiasaan pedagang Arab itu di dalam al-Quran yang bermaksud: “Menjadi kebiasaan kaum Quraisy berdagang pada musim sejuk dan panas.” (Surah al-Quraisy, ayat 1-2)

Menurut al-Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni, perjalanan pada musim sejuk ke Yaman manakala musim panas ke Syam.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Harta yang baik untuk orang yang baik.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Apabila harta berada di tangan orang baik, maka ia akan mengalir dalam bentuk zakat, sedekah, wakaf, jihad fisabilillah dan tujuan lain untuk kemaslahatan umat Islam.

Seorang Muslim wajib faham betapa penting setiap sen dan ringgit itu wajib sampai ke tangan golongan fakir miskin dalam kalangan umat Islam.

Dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Setiap mukmin wajib tolong-menolong antara satu sama lain untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran.” (Surah al-Taubah, ayat 71)

Hari ini, umat Islam diuji dengan lambakan produk khususnya makanan keluaran syarikat bukan Islam yang diragui status halal serta kaedah pemprosesannya.

Malangnya, umat Islam tanpa rasa bersalah membeli dan menggunakannya seisi keluarga yang kesannya menyebabkan aliran tunai umat Islam masuk ke poket mereka yang tidak sepatutnya selain darah daging kita turut dibentuk daripada makanan dan minuman berunsur syubhah.

Kuasa membeli umat Islam sangat tinggi. Bahkan, ia banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Maka kemunculan kempen Buy Muslim First (BMF) antara usaha umat Islam melalui persatuan pengguna dan ekonomi Islam bagi mengajak umat Islam menyokong dan membeli barangan keluaran syarikat umat Islam sendiri.

Ia diyakini halal selain proses aliran tunai turut beredar dalam rangkaian umat Islam sahaja.

Melalui kempen BMF, umat Islam akan bersatu membina sistem ekonomi tersendiri.

Sudah sekian lama perkara itu dibuktikan oleh golongan sahabat Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman Auf RA yang mana kekayaannya sehingga mampu menyumbang kepada kestabilan Islam di Madinah.

Ia sekali gus meranapkan perniagaan orang Yahudi yang menindas serta menzalimi orang ramai.

Jika umat Islam masih keliru dengan kempen yang baik itu, siapa lagi yang mahu menyokong umat Islam jika bukan umatnya sendiri?

Kita mempunyai alternatif, maka pastikan kita memilih produk Muslim tanpa syak dan ragu.

Ketahuilah, untuk mencari yang halal dan baik itu memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit.

Penulis pensyarah di Centre for Fundamental Studies, Management & Science University (MSU)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 9:00 AM