GAMBAR hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

TERDAPAT dalam kalangan manusia dilahirkan tidak sama seperti manusia biasa. Namun, dia juga memiliki kelebihan yang tidak dimiliki insan sempurna lain.

Allah SWT tidak sesekali menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang mempunyai masalah pendengaran, biasanya dia masih mempunyai penglihatan dan begitulah sebaliknya. Itu antara bukti Allah SWT tidak pernah memilih hambaNya untuk menanggung kekurangan 100 peratus. Malah, orang buta ada kalanya memiliki deria pendengaran jauh lebih baik daripada insan normal. Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, golongan OKU merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Mereka tidak seperti insan biasa, tetapi berhak merasai nikmat kehidupan seperti orang lain. Lihatlah kewujudan golongan OKU di sekeliling kita. Bantulah mereka mengurus kehidupan mengikut kemampuan masing-masing. Wujudkan budaya kasih sayang terhadap golongan OKU. Jika ternampak ada orang buta ingin melintas jalan, bantu mereka melintas jalan dengan selamat. Begitu juga apabila melihat golongan OKU menunggu giliran untuk berurusan, kita boleh dahulukan mereka agar dapat diselesaikan lebih segera. Apatah lagi jika melihat golongan OKU berdiri dalam pengangkutan awam, utamakan mereka terlebih dahulu dengan menawarkan tempat duduk kita kepadanya. Tanpa melihat status, bantulah mereka atas dasar sifat prihatin sesama insan. Sikap murni itu dapat melahirkan masyarakat penyayang. Bagi golongan Muslim pula, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah membantu golongan OKU menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Amat digalakkan jika ada pihak sukarelawan atau pertubuhan termasuk persatuan mahasiswa di universiti mengadakan program membantu golongan OKU Muslim menunaikan tanggungjawab mereka terhadap agama. Golongan OKU perlu diberi bantuan berbentuk ilmu mengurus diri berkaitan pelaksanaan ibadat khususnya solat fardu serta membaca al-Quran sepertimana peluang diterima orang normal. Usaha beberapa pihak menghasilkan al-Quran dan kitab agama dalam versi Braille perlu dihargai. Usaha itu tidak bermanfaat jika tidak ada pihak tampil memberi tunjuk ajar untuk menggunakan bahan yang dihasilkan. Golongan OKU tidak pernah disisihkan dalam Islam. Mereka juga berpeluang meraih ganjaran daripada Allah SWT sekiranya melaksanakan perintah agama mengikut kemampuan masing-masing. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai dan sesiapa yang berpaling ingkar akan diseksa oleh-Nya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Fath, ayat 17) Jika perbuatan membantu golongan OKU satu perkara mulia dan wajar diberi pujian, tindakan mengambil hak OKU adalah perkara salah yang wajib dihindari.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh apabila Baginda tidak menyisihkan sahabat dalam kategori OKU. Antaranya, Abdullah bin Umm Maktum yang tidak dapat melihat seperti manusia biasa. Beliau diberi kedudukan istimewa sebagai antara muazzin atau orang yang melaungkan azan ketika hayat Baginda.

>>Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 8:40 AM