SEBAHAGIAN jemaah bergambar di hadapan Kaabah sebelum melaksanakan tawaf widak.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


MELAKSANAKAN ibadat umrah sebenarnya sangat mudah. Semua orang boleh melaksanakannya walaupun ilmu berkaitannya masih banyak belum dikuasai,” kata Ustaz Muhammad Aris Farhan Mohd Khuzir.

Menurutnya, tiada juga bacaan khusus yang perlu dihafal oleh jemaah kerana segala urusan akan dibimbing mutawif berpengalaman.

“Sebelum berlepas mengerjakan umrah, setiap jemaah akan dibimbing melalui kursus yang dijalankan.

“Daripada situ, jemaah dapat mempelajari pelbagai ilmu berkaitan pelaksanaan ibadat umrah serta ilmu agama lain, seterusnya memudahkan ibadat umrah mereka di Tanah Suci kelak,” katanya.

Beliau yang bertugas sebagai mutawif di syarikat Rakyat Travel Sdn Bhd menyatakan, setiap mutawif wajib menjaga amanah dengan memastikan urusan ibadat jemaah mengikut cara yang betul.

“Mutawif bertanggungjawab memberi ingatan kepada setiap jemaah apa yang perlu dilakukan sebelum berlepas ke Tanah Suci Makkah termasuk memperbetulkan niat, menjaga kesihatan serta perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.


MENEMANI jemaah kurang sihat melaksanakan ibadat saie menaiki skuter.

“Selain itu, jemaah juga perlu sentiasa diingatkan dengan perkara-perkara berkaitan rukun, syarat wajib, pantang larang dalam ihram serta urusan ibadat lain semasa di sana.

“Ini bagi memastikan urusan ibadat berjalan dengan sempurna tanpa wujud kecacatan.

“Jika ada jemaah terlanggar pantang larang secara sengaja atau sebaliknya, mutawif perlu membantu menerangkan pelaksanaan hukuman dendanya (dam).

“Urusan pembayaran dam perlu diurus oleh mutawif untuk diserahkan kepada pihak yang berhak supaya jemaah tidak risau dan gelisah mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mutawif yang disayangi perlu menganggap jemaah di bawah seliaan mereka sebagai ahli keluarga sendiri.

“Menjadi satu kelebihan buat mutawif yang mempunyai kelebihan pandai berceramah, fasih berkomunikasi dalam bahasa Arab, berbudi bahasa, ringan tulang dan sentiasa positif akan menjadi ‘buah mulut’ jemaah.

“Jika urusan perjalanan ibadat umrah jemaah dikendalikan dengan baik dan amanah, percayalah hubungan pasti akan kekal berpanjangan,” katanya.

Muhammad Aris Farhan berkata, beliau terbabit secara sepenuh masa sebagai mutawif sejak dua tahun lalu.


BERSAMA jemaah menziarah Jabal Uhud di Madinah.

“Saya bermula dalam bidang ini selepas melalui pengalaman melaksanakan ibadat umrah sebagai jemaah biasa.

“Sepanjang menunaikan umrah, saya memerhatikan gerak geri mutawif yang menguruskan perjalanan ibadat kami.

“Ketika itu, terdetik doa, ‘alangkah indahnya sekiranya Allah SWT memilih aku selepas ini menjadi pembimbing tetamu-Nya’.

“Dua bulan selepas pulang daripada melaksanakan ibadat umrah, Allah SWT memakbulkan doa saya apabila mendapat tawaran menjadi mutawif,” katanya.

Katanya, tanah haram adalah bumi ajaib kerana segala ujian yang berlaku di sana adalah bukti Allah SWT ingin menilai niat serta kesabaran setiap tetamu-Nya.

“Sebab itu, sebelum menunaikan ibadat umrah, kita digalakkan bertaubat. Jika tidak, amalan atau sikap negatif yang biasa kita lakukan akan terbawa-bawa sehingga ke tanah haram.

“Pernah saya berdepan pengalaman seorang jemaah tidak semena-mena marah dan menjerit di dalam bilik hotel.

“Ketika saya datang untuk menenangkan keadaan, dia jerit dan marah kepada saya dengan kuat dan dituduh bermacam-macam perkara.

“Namun, saya perlu bersikap sabar dan profesional. Saya kemudian meminta dia duduk dengan tenang dan menceritakan perkara sebenar.

“Saya berjaya menenangkannya walaupun dia bersikap agak kasar pada mulanya. Itulah perkara yang biasa dihadapi setiap mutawif yang membawa pelbagai ragam dan kerenah daripada jemaah.

“Namun, paling penting mutawif perlu mempamerkan akhlak yang baik serta sedaya upaya membantu menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi jemaah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 8:44 AM