GAMBAR hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguh-nya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam...” (Surah Ali ‘Imran, ayat 19)

Pengiktirafan Allah SWT mengenai kedudukan Islam tidak boleh diragui sama sekali. Apatah lagi umat Islam yang mengaku dirinya beriman dengan ajaran dibawa Rasulullah SAW.

Dalam ayat lain, Allah SWT menjelaskan, sesiapa yang memilih agama selain daripada Islam, maka mereka melakukan perbuatan yang salah dan tidak diterima Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 85)

Kedatangan Islam menerusi wahyu disampaikan kepada Rasulullah SAW menjadikan kepercayaan lain tertolak.

Malah, syariat yang dibawa rasul sebelumnya juga terhapus. Ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW adalah untuk semua manusia menerimanya.

Islam yang sampai kepada manusia pada hari ini adalah agama yang sama disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Ia mengandungi ketetapan jelas berdasarkan sumber agama yang tidak pernah berubah dari dulu, kini dan selamanya iaitu al-Quran dan sunah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Dengan memahami perkara asas itu, umat Islam lebih-lebih lagi pada saat berdepan dengan kelompok manusia daripada pelbagai agama perlu berpegang teguh terhadap prinsip Islam.

Meskipun Islam menggesa umatnya tidak menghina atau mempermainkan agama lain, namun tidak bermakna ketetapan agama boleh diketepikan.

Tidak ada toleransi dalam soal menjaga prinsip agama Islam kerana ia perkara yang menjadi tonggak menzahirkan kebenaran Islam.

Lihat bagaimana Rasulullah SAW bersikap tegas terhadap golongan yang tidak menerima Islam, namun cuba bertoleransi dengan Islam.

Golongan kafir itu mengajak supaya dilakukan penggiliran agama agar ada kalanya orang ramai mempraktikkan Islam dan pada tempoh waktu kemudiannya semua orang termasuk golongan Muslim mempraktikkan kepercayaan yang ditolak oleh Islam.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Rasulullah SAW secara tuntas.

Perkara itu dirakamkan Allah SWT menerusi Surah al-Kafirun ayat 1-6 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Penjelasan itu membuktikan Islam mempunyai prinsip yang tidak boleh digadai.

Kebenaran Islam, malah pengiktirafan yang diberikan Allah SWT terhadap Islam perlu difahami agar menjadi asas dalam memartabatkan Islam.

Islam tidak mempromosikan permusuhan, sebaliknya kedamaian dan keharmonian hidup sesama insan sentiasa menjadi saranan.

Acuan yang ditetapkan Islam tidak boleh sama sekali direndahkan semata-mata untuk menjaga hati pihak lain.

Peringatan mengenai hal itu turut diingatkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menerusi titahnya sempena Sambutan Maal Hijrah 1441, baru-baru ini.

“Dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah.”

Peringatan itu amat bermakna bagi memastikan umat Islam di negara ini sedar bahawa prinsip Islam perlu dipelihara pada setiap masa.

Setiap pensyariatan dalam Islam mempunyai acuan atau asas tersendiri. Ia tidak boleh disamakan dengan kepercayaan agama lain.

Penganut agama lain bersembahyang, namun tidak sama dengan sembahyang ditunaikan umat Islam yang menyembah Allah SWT.

Begitu juga penganut agama lain berpuasa, namun tidak sama dengan ibadat puasa yang diamalkan oleh umat Islam.

Dalam ibadat sunat pun, amalan umat Islam tidak boleh sama sekali disamakan dengan amalan pengikut kepercayaan lain daripada Islam.

Contohnya, esok tanggal 10 Muharam yang dikenali sebagai hari ‘Asyura.

Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari berkenaan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Berpuasa pada hari ‘Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Rasulullah SAW turut menitahkan agar umat Islam berpuasa sehari sebelum atau selepas 10 Muharam.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 7:24 AM