GAMBAR hiasan
Suriany Awaludin

BOLEHKAH setiap harta pusaka milik orang tua kita bahagikan secara muafakat antara pewaris tanpa menggunakan kaedah faraid?

Selain itu, apabila proses pembahagian harta pusaka dilakukan secara faraid, bolehkah ada dalam kalangan ahli waris memohon lebih?

Contohnya, arwah bapa meninggalkan tanah pertanian iaitu kebun kelapa sawit dan dusun.

Bolehkah anak sulung menuntut bahagiannya lebih berbanding adik-beradik lain kerana dia anak sulung yang banyak berjasa dan menjaga bapanya.

Angah, Batu Pahat, Johor

Penyelesaian harta peninggalan atau harta pusaka sememangnya dituntut untuk diuruskan dengan segera.

Islam menyusun aturan dan kaedah yang perlu dilakukan oleh umatnya dalam segala aspek kehidupan di dunia ini dari lahirnya seorang bayi hinggalah berlaku kematian.

Apabila berlaku kematian, waris yang hidup hendaklah menyempurnakan kewajipan terhadap si mati dengan segera iaitu menyempurnakan jenazahnya, menyelesaikan hutang piutang, hak-hak orang lain ke atas harta si mati seperti hibah, wasiat atau harta sepencarian dan akhirnya pembahagian kepada ahli waris yang layak dan berhak.

Namun, dalam menguruskan penyelesaian dalam harta pusaka, banyak kes semasa yang dilihat atau dilaporkan berlaku pertelingkahan akibat perebutan dan perasaan tamak.

Walau bagaimanapun, pertelingkahan dan perebutan boleh dielakkan jika umat Islam memahami kaedah penyelesaian pusaka dan hukumnya yang lebih meluas.

Dalam menyelesaikan pembahagian harta pusaka orang Islam, mekanisme yang dianjurkan adalah mengguna pakai kaedah faraid.

Ini kerana faraid adalah sesuatu yang ditetapkan Allah SWT kepada setiap hambanya untuk mengurus harta pusaka.

Terdapat juga mekanisme lain yang boleh digunakan sebagai solusi dalam menyelesaikan masalah agihan harta pusaka.

Mekanisme itu dinamakan permuafakatan atau lebih dikenali sebagai kaedah takharuj.

Takharuj bermakna ahli waris menarik diri daripada menerima bahagian harta pusaka sama ada sebahagian atau kesemuanya dengan memberikan bahagiannya itu kepada waris lain sama ada dengan balasan atau tanpa balasan.

Kaedah itu juga adalah penyelesaian yang dicapai sesama ahli waris kerana dilakukan berasaskan kepada prinsip reda meredai dan toleransi.

Ada kalanya berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini waris menarik diri daripada menerima harta waris dan menolak harta itu kepada ahli waris lain.

Situasi sebegini selalunya berlaku antara ahli keluarga terdekat seperti ibu atau bapa menolak bahagian mereka dan menyerahkannya kepada anak atau cucu dan seumpamanya.

Penolakan atau penarikan diri seperti itu dibenarkan oleh syarak mengikut konsep takharuj.

Islam mengiktiraf alternatif pembahagian seperti itu kerana ia dilihat menepati ciri-ciri keadilan dalam Islam dan mampu mencapai matlamat pembahagian pusaka sebenar selagi mana tidak bercanggah dengan syariat.

Malah, kaedah itu sebenarnya memberi peluang kepada setiap ahli waris memilih cara terbaik dalam menyelesaikan permasalahan pembahagian harta pusaka.

Sistem pembahagian pusaka secara faraid adalah kadar yang ditetapkan oleh Allah mengikut kedudukan atau hubungan waris dengan si mati.

Kadar pembahagian itu adalah muktamad dan tidak boleh diubah sama ada ditambah atau dikurangkan.

Malah, setiap masalah pembahagian menurut faraid mempunyai kaedah kiraan berasaskan kadar bahagian yang ditetapkan sebagaimana al-Quran dan hadis.

Jika ada dalam kalangan waris mahukan bahagiannya lebih sedangkan pembahagian pusaka dibuat secara faraid, itu tidak dibenarkan.

Pembahagian hendaklah dibuat kepada waris yang layak dan mengikut kadar bahagian yang ditetapkan.

Sekiranya, ada permuafakatan dan persetujuan bersama daripada kalangan waris untuk memberikan mana-mana waris lain bahagian yang lebih banyak dan berbeza daripada kaedah faraid, maka ia diharuskan selagi mana mendapat persetujuan semua waris lain.

Persetujuan bersama menjadi tunjang asas dalam setiap penyelesaian.

Jika gagal mendapat persetujuan, maka kaedah faraid akan terpakai dan dilaksanakan supaya penyelesaian dan pembahagian harta pusaka dapat disempurnakan.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 8:45 AM