GAMBAR Hiasan
Fadly Samsudin

KEHIDUPAN manusia berubah-ubah dan pasti ‘berhijrah’ daripada satu fasa ke fasa yang lain.

Bermula daripada bayi, tempoh itu akan berakhir apabila Allah SWT hijrahkan pula menjadi kanak-kanak.

Kemudian, akan berhijrah ke alam remaja. Alam remaja juga tidak kekal kerana Allah SWT akan hijrahkan memasuki alam dewasa.

Pada usia dewasa, seseorang akan menempuh kehidupan lebih mencabar.

Ujian demi ujian akan datang dari segenap sudut sama ada sebagai seorang suami atau isteri, pekerja dan cabaran dengan anak-anak sehinggalah mereka sampai usia tua.

Seterusnya, pada fasa usia tua manusia akan berhijrah lagi dan bersedia pula untuk menanti saat kematiannya.

Oleh itu, kita wajib merancang apa yang hendak dibawa sebagai bekalan untuk meneruskan perjalanan cukup panjang itu yang tidak tahu selama mana ia berlaku dan apakah kesudahannya.

Itu perjalanan akhir kita hidup di alam nyata. Setiap orang akan memulakan hidupnya di alam baru iaitu barzakh.

Mati adalah sempadan perjalanan sama ada kita bakal memperoleh nikmat syurga atau azab neraka pada hari akhirat kelak.

Itulah antara bentuk ‘penghijrahan’ fasa kehidupan setiap manusia sejak dilahirkan sehinggalah seluruh amal ibadatnya tidak lagi dihitung apabila tiba saat kematiannya.

Sempena kehadiran tahun baru 1441 Hijrah ini, setiap umat Islam perlu kekalkan iltizam untuk sentiasa memperbaiki kelemahan diri.

Mulakan dengan perkara kecil yang biasa dilakukan dengan harapan usaha itu dipandang tinggi oleh Allah SWT.

Saidina Umar berkata: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini.”

Peristiwa hijrah dilalui Nabi Muhammad SAW adalah lambang pengorbanan dan kejayaan luar biasa.

Biarpun perihal peristiwa itu kerap diulangi namun ia tetap relevan untuk dijadikan ibrah dari sudut keimanan dan akhlak bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Teladan, semangat serta roh peristiwa itu tetap tidak luput dan lapuk oleh peredaran masa.

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad adalah pembakar semangat untuk mengukuhkan iman dan takwa.

Rentetan peristiwa hijrah itu, terhasilnya Piagam Madinah yang berjaya membentuk empat teras penting iaitu penyatuan seluruh umat Islam daripada pelbagai suku dan kaum, menyalakan semangat kerjasama sesama penduduk walaupun berbeza latar sosial, tanggungjawab dan kewajipan setiap warganegara mempertahankan tanah air serta jaminan kebebasan bagi setiap individu walaupun berbeza agama, budaya, sosial dan adat resam.

Jika diamati, semangat Piagam Madinah itu sentiasa dijulang kepemimpinan negara kita sejak dahulu melalui Perlembagaan.

Ia menjadi dasar nasional sehingga terbukti mampu meletakkan seluruh rakyat dan negara ini di landasan terbaik untuk kekal hidup bersatu padu, harmoni, makmur dan maju.

Dalam konteks Malaysia, bibit perpecahan sebenarnya sudah wujud atau tidak mustahil bakal berlakunya perpecahan lebih besar.

Sehubungan itu, jadikanlah peristiwa hijrah Nabi dan sahabatnya bagi menyemai serta mendukung tinggi usaha serta semangat perpaduan.

Peristiwa hijrah berjaya mengubah sejarah kemanusiaan yang sebelumnya hidup dalam keadaan bermusuhan kembali bersatu padu.

Rasulullah SAW mengubah suasana itu dengan membawa mereka kepada masyarakat bertamadun tinggi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kalaulah kamu belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat juga menyatupadukan antara perasaan dan hati mereka. Akan tetapi, Allah menyatupadukan mereka antara perasaan dan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Anfal, ayat 63)

Ayat itu cukup bermakna bagi mengingatkan kita kepada kisah perpaduan di antara kaum Muhajirin dan Ansar yang pada asalnya saling bersengketa.

Berbicara mengenai hijrah ini juga kita perlu benar-benar menekankan aspek menjaga sikap dan adab tidak kiralah sama ada ketika mengutarakan pandangan, memberi kritikan serta bercakap dengan orang lain.

Umat Islam pada hari ini begitu terhimpit dalam persaingan dunia tanpa sempadan yang amat mencabar.

Tidak hairan jika lahirnya golongan manusia yang tidak beradab dan bertimbang rasa serta tidak malu lagi melakukan perkara mungkar tanpa berselindung.

Semoga rentetan peristiwa hijrah itu dapat menimbulkan kembali kesedaran dalam kalangan umat Islam supaya semakin kuat meninggikan kemuliaan Islam.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:00 AM