GAMBAR Hiasan
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

WANG dan harta adalah keperluan asas bagi manusia meneruskan kehidupan.

Tanpa harta, kita tidak akan mampu memiliki keperluan asas kehidupan seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan.

Ibarat kenderaan yang bergerak dengan adanya bahan bakar, begitu juga dengan kehidupan manusia yang digerakkan dengan adanya wang dan harta sebagai bahan bakarnya.

Islam mengiktiraf harta sebagai asas kehidupan manusia. Ini dijelaskan melalui firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’, ayat 5: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu, dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”

Ayat itu menyatakan harta atau kekayaan adalah asas kepada kehidupan sama ada dari aspek agama atau pembangunan dunia.

Penjagaan dan pengurusan harta atau hifzalmal adalah salah satu daripada lima teras keperluan utama yang menjadi tujuan penurunan syariat Islam atau maqasid al-syariah.

Maqasid al-syariah ialah asas dan polisi utama kehidupan beragama. Penjagaan harta meliputi penjanaan kekayaan, pemindahan serta pengagihan.

Aspek terpenting antara tiga komponen itu adalah penjanaan kekayaan. Sekiranya harta dan kekayaan dimiliki umat Islam tidak mencukupi, tentulah kita tidak mampu mengagihkannya dalam masyarakat.

Segala harta yang dimiliki perlu menjadi wasilah mendapatkan keredaan Allah dan menjadi bekalan kita di akhirat.

Harta menurut kaca mata Islam ibarat sebilah pedang yang mempunyai dua sisi. Baik buruk kesannya bergantung kepada bagaimana manusia menggunakannya.

Allah SWT berfirman di dalam Surah al-‘Aadiyaat, ayat 8 berkenaan harta maksudnya: “Dan sesungguhnya dia (manusia) melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).”

Harta dirujuk sebagai al-Khair yang membawa maksud kebaikan sebagaimana pendapat ahli tafsir seperti Imam Ibnu Hajar.

Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memandang peranan harta sebagai sesuatu keperluan asas mereka di samping amalan ketaatan dan ibadat yang berkait dengannya.

Ia tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ibadat zakat, wakaf, sedekah dan lain-lain.

Harta juga adalah ujian kepada seseorang seperti disebutkan di dalam ayat 28, Surah al-Anfal yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar.”

Harta juga boleh menjadi sebab jauhnya seseorang hamba daripada Tuhan-Nya disebabkan kelalaian dan ketamakan mengumpulkan harta.

Berjaya atau gagalnya seseorang dalam ujian hartanya bergantung kepada bagaimana dia memperoleh serta membelanjakannya.

Kekayaan yang dimiliki sahabat Nabi SAW seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Uthman bin ‘Affan dan Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf tidak menjadi penghalang buat mereka mendapat kemuliaan di dalam Islam, bahkan ketiga-tiga mereka antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga.

Sebaliknya, Qarun yang bersifat angkuh dan sombong dengan harta yang dimilikinya dilaknat oleh Allah SWT.

Daripada dua contoh berlawanan dikemukakan itu, jelas bahawa baik buruk harta bukanlah terletak pada keping kertas mahupun logamnya, tetapi ditentukan sikap pemiliknya.

Sekiranya harta dan kekayaan itu dibelanjakan pada jalan kebaikan seperti wakaf, sedekah dan nafkah, maka pemiliknya akan menikmati pahala berterusan walaupun selepas kematiannya.

Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika manusia itu mati, maka akan putus amalannya kecuali daripada tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaatnya dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya.”

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:59 AM