GAMBAR Hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

SEBAGAI seorang pencinta buku, penulis membayangkan apa akan terjadi kepada kelangsungan industri buku khususnya mereka yang mengusahakan toko buku.

Apakah akan berlaku fenomena tutup kedai berpunca daripada kurangnya sambutan orang ramai terhadap penjualan buku?

Demikian juga halnya dengan analisis ‘wartawan segera’ yang membuat andaian bahawa dunia percetakan akhbar juga akan menerima nasib sama.

Apakah perkara itu benar-benar berlaku? Berdasarkan senario semasa, pendapat sedemikian ada kebenarannya.

Kedai buku dan kios penjualan akhbar dikatakan semakin hari semakin kurang sambutannya.

Banyak pihak terpaksa beralih kepada sektor perniagaan lain. Jika situasi itu berterusan dalam industri buku dan akhbar, maka amat malang sekali kerana kita perlu menyedari buku dan akhbar sangat penting dalam menyemarakkan budaya amalan membaca.

Kemungkinan besar, fenomena itu bakal merugikan masyarakat sendiri kerana menerusi pembacaan buku dan akhbar, seseorang memperoleh ilmu dan maklumat berkenaan sesuatu perkara.

Masyarakat hari ini nampaknya lebih gemar membaca melalui buku dan akhbar elektronik kerana beranggapan ia lebih mudah dan menjimatkan.

Kita tidak menafikan pembacaan seumpama itu juga adalah budaya membaca.

Kita berasa amat bimbang dengan keadaan itu kerana dunia buku dan akhbar seharusnya terus kekal sebagai medium bagi mendapatkan ilmu pengetahuan dan maklumat.

Kita seboleh-bolehnya mahukan amalan membaca melalui buku konvensional (hard copy) tetap kekal relevan menjadi minat masyarakat.

Percayalah dalam apa jua zaman, memperoleh ilmu menerusi pembacaan buku menjadi tonggak kepada terbinanya tamadun dan kemajuan.

Bertitik tolak kepada kepentingan amalan membaca menyedarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Unesco menganjurkan Hari Buku Sedunia dan di negara kita pada bulan April setiap tahun turut sama menyambutnya dengan pelbagai pengisian dan kempen.

Alhamdulillah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak sekian lama mengadakan program Nilam iaitu satu kegiatan bermatlamat untuk membina budaya membaca dalam kalangan murid.

Budaya membaca begitu penting untuk terus kekal dipertingkatkan demi menjadikan masyarakat yang celik ilmu pengetahuan dan kaya dengan maklumat bersumberkan punca yang sahih.

Sebagai umat Islam juga kita sepatutnya tidak boleh memperlekehkan amalan membaca kerana budaya membaca adalah tunjang terbentuknya umat Islam hebat dan unggul yang mampu menguasai pelbagai bidang.

Apatah lagi dalam zaman serba moden ini. Imam Ahmad bin Hambal berpesan, ‘Manusia berkehendakkan kepada ilmu umpama dia hendakkan kepada roti dan air.’

Itu menunjukkan ilmu pengetahuan antara keperluan asas yang mesti seseorang miliki.

Tidak menghairankan bagaimana bersemangatnya umat Islam pada zaman silam dalam usaha pencarian ilmu.

Di tangan mereka pasti akan dikelek kemas pelbagai kitab (buku) untuk dijadikan bahan ‘makanan’ minda mereka.

Mereka sanggup merentas padang pasir yang kontang tanpa pohon untuk berteduh, hanya satu misi iaitu pergi menuntut ilmu.

Begitulah dengan watak dan semangat pada diri ramai tokoh Islam dulu seperti Imam Syafii, Imam Ahmad, Imam Bukhari, Imam Muslim dan ramai lagi.

Umat Islam dahulu juga kaya dengan jiwa mahukan ilmu untuk menerokai ilmu baru dan melakukan inovasi berasaskan sains dan teknologi.

Itu juga mereka peroleh melalui kajian dan pembacaan buku. Ibnu Sina yang tersohor dengan kepintarannya dalam bidang perubatan adalah seorang ‘ulat buku’ dan sentiasa menyiram semangat dalam jiwa untuk menjadi seorang Muslim yang meninggalkan khazanah ilmu dalam bidang perubatan.

Sehingga hari ini, hasil penemuannya masih dijadikan rujukan doktor moden.

Satu persamaan antara orang berjaya sejak zaman silam sehingga hari ini adalah kekuatannya dalam aktiviti membaca.

Budaya membaca sememangnya menjadi budaya utuh dalam masyarakat negara maju seperti di Barat dan Jepun.

Dalam kalangan masyarakat di negara berkenaan, mereka seakan-akan tidak boleh direnggangkan dengan buku.

Begitulah analoginya untuk kita gambarkan perihal watak mereka yang inginkan kemajuan.

Seorang tokoh Barat, William Buffet pernah ditanya faktor yang membawa kepada kejayaan peribadinya.

Beliau menunjukkan ke arah satu susunan buku berdekatan dengannya.

Katanya: “Baca 500 helai muka surat sehari. Inilah cara pengetahuan berfungsi. Anda semua boleh melakukannya, tetapi saya yakin tidak ramai yang akan melaksanakannya.”

Semoga hati kita akan terus kekal terpaut dengan amalan membaca dan tidak sesekali meminggirkan buku dan kitab meskipun kita dihambat dengan pelbagai perkakasan sains dan teknologi yang bukan sedikit ‘menggiurkan.’

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 8:47 AM