GAMBAR Hiasan
Fatimah Syarha Mohd Noordin

FIKIRAN kita sentiasa dihujani pelbagai maklumat setiap hari. Apakah kayu ukur untuk menilai sama ada maklumat itu baik atau buruk?

Akal fikiran kita memang luar biasa hebatnya namun tetap terbatas untuk menjadi satu-satunya kayu ukur kebenaran.

Buktinya, pengalaman kita pernah hidup dalam perut ibu tidak mampu pun akal kita mengingatinya.

Kita memerlukan rujukan ilmu sains bagi mengesahkan kesahihannya.

Begitulah kita sangat memerlukan wahyu yang tiada keraguan langsung mengenai kebenarannya bagi memerdekakan fikiran daripada belenggu kepalsuan.

Generasi terbaik iaitu generasi awal umat Islam hidup dalam kemerdekaan hakiki dengan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Bukan menghambakan diri kepada sesama manusia atau makhluk yang lebih rendah daripada itu.

Lihat bagaimana akrabnya hubungan mereka dengan sumber kemerdekaan hakiki iaitu al-Quran dan sunnah.

Hatta, wanitanya bersemangat mendengar mesej ilmu daripada khutbah Jumaat demi memerdekakan fikiran daripada kejahilan.

Ummu Salamah pernah bercerita, dia mendengar Rasulullah SAW berkata di mimbar, sementara dia sedang bersikat rambut saat itu: “Wahai sekalian manusia.” Ummu Salamah berkata kepada tukang sikatnya: “Tinggalkan aku dulu.”

Tukang sikat itu berkata: “Baginda hanya memanggil kaum lelaki, bukan kaum wanita.” Ummu Salamah berkata: “Aku termasuk manusia.” (Hadis riwayat Muslim, Kitab Fadail, Bab Ithbat Haudhi Nabiyyina)

Begitulah generasi emas umat yang dididik Nabi SAW yang sentiasa bersemangat kepada ilmu, khususnya bersumberkan nusus al-Quran dan al-sunnah.

Demi meneruskan mata rantai didikan yang sama, perlu diketahui asas pemahaman nas dihuraikan dalam tulisan Muhammad (2012:14-15) dengan kaedah berikut:

1. Memahami bahasa al-Quran yang digunakan dan hendaklah disertakan penjelasan al-Quran bagi memahami nas.

Jika kita mampu memahami drama Korea kerana membaca seni kata terjemahannya, maka dengan semangat merdeka kali ini bacalah al-Quran dengan membaca terjemahannya kemudian ditingkatkan lagi dengan membaca tafsirnya.

2. Memahami al-Quran hendaklah disertakan hadis. Kedudukan hadis di sisi al-Quran adalah penerang dan mendatangkan hukum yang tidak kedapatan dalam al-Quran.

Secara praktikalnya, kita boleh menyertai telegram satu hari satu hadis dan menyebarkannya dalam kumpulan WhatsApp yang kita sertai.

3. Penjelasan mengenai makna al-Quran perlu kepada penjelasan sahabat Nabi SAW yang mengerti situasi dan keadaan diturunkan al-Quran dan penjelasan hadis.

Dalam buku tafsir, biasa dimuatkan kefahaman sahabat ini agar kita tidak tergelincir kepada fahaman yang salah.

4. Penjelasan akal yang waras dapat memahami nas syarak. Namun, perlu diingatkan bukan semua nas al-Quran dapat dijelaskan dengan akal.

Manfaatkan fungsi akal, suluhlah ia dengan tetap berpegang pada wahyu.

5. Hendaklah mengutamakan penyandaran pemahaman nas kepada ayat muhkam dahulu kerana ia asas paling selamat bagi disiplin hukum-hakam syarak.

Begitu juga hendaklah berpegang kepada nas yang qat’i (mempunyai satu makna) terlebih dahulu bukan zanni (mempunyai banyak makna) kerana ia perkara penting untuk dijadikan asas pemahaman hukum.

Dalam berinteraksi dengan nas, ada kajian misalnya oleh Muhammad Mahmud Ahmad, IUG Journal of Islamic Studies (2014) membincangkan cara kontemporari dalam memahami teks agama separa dengan menyebut asas setiap arah dan buktinya, disokong oleh contoh ilustrasi dan hujah yang berkaitan untuk mencapai pendapat paling tepat.

Penyelidikan itu membincangkan tiga cara kontemporari dalam pemahaman separa mengenai teks agama seperti:

1. Melihat teks literal tanpa mengira tujuan keagamaannya.

2. Menghilangkan teks dan memberikan pertimbangan kepada tujuannya.

3. Fokus pada pemahaman teks separa dengan tujuan umum.

Melalui pendekatan deskriptif berdasarkan induksi dan analisis, kajian itu menggunakan cara ketiga untuk justifikasi yang disenaraikan dalam kajian berkenaan.

Maklumat itu sekadar panduan kita bersama untuk lebih memahami sumber rujukan terbesar kita.

Selain itu, apabila dilihat kepada cara yang digunakan generasi awal, ada kecenderungan cara Ibnu Umar dan Ibnu Mas’ud yang saling berbeza dalam berinteraksi dengan sumber rujukan kedua iaitu sunnah Nabi SAW sehingga membentuk dua aliran ilmu berbeza sehingga ke hari ini.

Misalnya, Ibnu Umar memahami mengikut sunnah dengan mengikut secara bentuk pengamalan.

Katakan Nabi SAW bersugi menggunakan kayu sugi, aliran itu juga mahu bersugi dengan kayu sugi.

Manakala ada aliran lain seperti Ibnu Mas’ud pula memahami mengikut sunnah dengan kaedah Al-ibrah bil madmun la bi al-syakl iaitu mengambil pengajarannya dengan isi bukannya bentuk.

Aliran itu memahami kepentingan membersihkan gigi dan memilih berus gigi seandainya ia lebih efektif dan memudahkan berbanding kayu sugi, tetap dengan niat mengikut sunah Nabi SAW.

Dr Yusuf al-Qaradhawi membincangkan isu seperti itu dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’as Sunnah
di bawah tajuk al-Tamyiz Baina al-Wasilat al-Mutaghayyiraati wa al-Hadaf al-Thabiti li al-Hadith’ (pembezaan antara wasilah yang berubah dengan matlamat yang tetap dalam hadis).

Dalam nas, ada maqasid mengandungi maslahah dan wasail iaitu jalan yang membawa kepada maslahah atau kebaikan.

Ia dijelaskan secara terperinci oleh al-Qarafi. Oleh itu, kita perlu sentiasa mengkaji fiqh nusus (memahami al-Quran dan al-Sunnah) kerana ilmunya luas dan tidak kering.

Ia sumber kemerdekaan yang hakiki. Hanya dengan kemerdekaan fikiran yang hakiki, kita akan meyakini sumber itu dan membebaskan fikiran daripada sangkaan dan kepalsuan.

Kita juga akan mengajak seramai mungkin orang mengenali rujukan terbesar tanpa paksaan.

Agama ini mengajar kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Begitulah keindahan hidup merdeka berasaskan kepercayaan kepada Tuhan.

Penulis adalah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 8:14 AM