GAMBAR hiasan
Fadly Samsudin

TIDAK ada orang yang terus dapat menguasai al-Quran melainkan semuanya bermula daripada mengenal huruf-hurufnya.

Bagi golongan yang masih dalam proses belajar pasti akan melakukan kesilapan. Kesilapan itu akan berjaya diatasi selepas melalui pembelajaran secara berterusan.

Apa yang menjadi kesalahan adalah belajar tidak berguru, sengaja membaca dengan salah, menghina al-Quran serta membaca dengan cara memperlekehkan al-Quran.

Dalam mempelajari al-Quran jangan hanya fikir atau menyasarkan untuk cepat tamat sahaja.

Maka, kita perlu berusaha meluangkan masa biarpun seketika bagi membaca serta mengulang kaji al-Quran.

Antara isu yang sering dibangkitkan berhubung pembelajaran al-Quran adalah boleh atau tidak membaca serta mempelajarinya dalam tulisan Roman atau rumi.

Alasan menggunakan al-Quran tulisan rumi itu dikatakan lebih mudah selain turut dijadikan rujukan bagi golongan yang tidak pandai membaca menggunakan kaedah da- lam bahasa Arab.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah Temerloh, Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih berkata, mempelajari al-Quran mesti menggunakan kaedah pembelajaran bermula dengan pengenalan huruf-huruf Arab.

Menurutnya, belajar melalui huruf-huruf hijaiyah serta makhraj (ilmu tempat keluar huruf) membolehkan seseorang menyebut dengan tepat sebutan sebenar bacaan al-Quran.

“Biar tempoh belajar al-Quran itu lama. Ia membolehkan seseorang lebih lama bersama guru dan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, belajar al-Quran menggunakan tulisan rumi menyebabkan berlaku pelbagai kesalahan sebutan ketika membaca al-Quran dan boleh memberi kesan terhadap pelanggaran hukum tajwid.

“Carilah guru al-Quran bertauliah untuk membimbing ke arah memantapkan bacaan al-Quran.

“Berhubung pengharaman penulisan ayat-ayat al-Quran dengan huruf Roman atau Latin, ia berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-24.

“Keputusan pada 5 dan 6 Jun 1989 itu mengambil keputusan, haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan bukan huruf Arab.

“Selain itu, memetik beberapa hujah lain, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 25 Ogos 2016 menyatakan, penulisan ayat-ayat al-Quran dengan huruf Roman atau Latin boleh membantu serta memudahkan membaca al-Quran.

“Walau bagaimanapun, ia boleh menghilangkan kemukjizatan al-Quran terutamanya dari segi bacaan, sebutan dan tajwid.

“Empat mazhab bersepakat mengenai ketidakharusan menulis al-Quran dengan huruf selain bahasa Arab atau huruf hijaiyah. Bahkan, ia wajib ditulis dengan tulisan Rasm Uthmani. Pendapat itu dinyatakan juga Imam Malik, Ibnu Hajar dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, Imam al-Zurqani di dalam kitab Manahil al-‘Irfan menyifatkan, kesan terjemahan selain tulisan hijaiyah mengundang penyelewengan pada lafaz al-Quran serta mengubah maksudnya.

“Lajnah Fatwa al-Azhar turut menyokong pengharaman perkara itu demi memelihara kesucian dan ketulenan al-Quran.

“Al-Quran yang kita baca sekarang adalah Rasm Uthmani. Sebelum ini, kita baca al-Quran yang dicetak di Pulau Pinang, Singapura atau Pakistan yang merupakan cetakan al-Quran Majid.

“Terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua mushaf berkenaan. Bagaimanapun, al-Quran Uthmani sah dan diguna pakai di negara seperti Arab Saudi, Iraq, Jordan, Syria, Tunisia dan Mesir.

“Pada 1985, kerajaan Arab Saudi juga melupuskan naskhah pelbagai jenis yang diwakafkan jemaah haji untuk dibaca pengunjung Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

“Kini hanya al-Quran Mushaf Uthmani ditempatkan di kedua-dua masjid berkenaan,” katanya.

Mohd Zarimi berkata, Rasm Uthmani yang disepakati sahabat memberi faedah kepada umat Islam hingga ke hari ini.

“Ulama Qiraat, Rasm dan Ulum al-Quran, As-Syeikh Abdu al-Fatah al-Qadhi turut menegaskan, menjadi kewajipan ke atas penulis, pencetak, pengeluar mushaf menggunakan Rasm Uthmani dan jangan diubah walau sedikit pun sama ada mushaf kamilah (sempurna) atau mushaf kecil yang diajar kepada kanak-kanak supaya mereka mengenali Rasm Uthmani.

“Kami di Maahad Tahfiz Al-Istiqamah juga mengambil inisiatif menganjurkan Program Kursus Persijilan Kemahiran Al-Quran (KPKQ) yang menekankan modul khusus berkenaan ilmu Rasm Al Uthmani,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 8:25 AM